Oleh Hafiz Zainuddin
HAMPIR setiap hari Albert akan menghidupkan enjin bot
berulang alik ke seberang. Rutin hariannya menghantar anak ke sekolah
dan ibu yang mahu ke pasar membeli keperluan.
Kalau hari hujan, dia terpaksa menunggu di jeti uzur itu,
begitu juga mereka yang setia menunggunya sehingga selesai hujan.
Walaupun selepas hujan, kadang-kadang terpaksa juga dia menunggu
sehingga air sungai kembali tenang.
Albert merupakan anak tempatan yang tinggal di sebuah
kampung di Lundu, Sarawak. Dia menjadi penghubung antara penduduk
kampung dan tanah besar. Kalau dia kurang sihat, sepupunya Suleiman akan
mengambil alih tugasnya.
Tak kurang, nama Albert disebut dan dikenal orang sampai ke
tanah besar kerana jasanya menjadi penyambung nyawa. Pernah pada satu
malam rumahnya digegar Matthew yang isterinya sudah mahu bersalin.
Tidak tertangguh Albert turun ke tanah menyiapkan bot
membawa Clara dan Matthew menyeberang ke tanah besar. Keesokan harinya,
ibu itu dikhabarkan selamat melahirkan anak lelaki melalui pembedahan
akibat songsang. Albert hanya tersenyum. Syukur.
Mewarisi kemunduran di negeri kaya
Sambil
menghembus Rave yang dihisapnya, sering dia terfikir, bagaimana suatu
hari nanti dia tidak lagi mampu untuk meneruskan kerja yang diwarisi
ayahnya itu, lebih-lebih lagi anaknya masih kecil bersekolah dan
sepupunya Suleiman juga bukan selalu lapang. Siapa lagi yang mahu
menggantikan khidmat mulia itu kepada sekitar 26 keluarga di kampungnya.
Jambatan gantung yang dibina penduduk kampung 20 tahun lalu
tidak lagi selamat untuk anak-anak menyeberang ke sekolah. Penduduk
kampung bukanlah orang berduit memandangkan hampir semuanya berkebun
kecil-kecilan dan ada juga yang mengambil upah menoreh getah.
Ini adalah satu daripada realiti yang dikongsi bersama
saya, masih berlangsung di Sarawak. Perahu tambang bukanlah pengangkutan
asing di sini kerana masih banyak kawasan luar bandar yang terpisah
akibat sungai. Malah, tidak terkecuali di Kuching, ibu negeri Sarawak.
Sering, janji wakil rakyat membina sebuah jambatan konkrit
sekadar tinggal janji pecah tanah yang dipenuhi. Kemudian, batang hidung
jambatan hanya tinggal sebutan orang kampung dan menjelang pilihan
raya.
Justeru itu, ia membuatkan kita terfikir, berapa ramai
lagikah Albert yang sanggup untuk terus mencurah bakti kepada
masyarakatnya dan sampai bila?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan