HULU LANGAT - Akibat tidak dapat menerima kenyataan pinangannya ditolak, seorang polis bantuan mengamuk dan melepaskan beberapa das tembakan secara rambang ke arah rumah teman wanitanya di Taman Megah, Kajang di sini hari ini.
Berikutan kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, satu das tembakan tersebut mengenai bahu adik wanita berkenaan, T. Salamon, 25, yang bekerja sebagai juruteknik.
Menurut bapa mangsa, T. Tholilali, 59, kejadian bermula apabila suspek yang bekerja sebagai polis bantuan di Bangi datang ke rumah mereka kira-kira pukul 7.30 pagi untuk bertemu anak perempuannya, T. Josaphine, 26, yang merupakan teman wanitanya.
"Bagaimanapun isteri saya enggan suspek bertemu dengan Josaphine dan memaklumkan bahawa anak perempuan kami itu sudah pergi ke tempat kerja.
"Dia kemudian beredar tetapi datang semula ke rumah ini kira-kira sejam kemudian setelah dipercayai gagal mencari anak saya di tempat kerja.
"Dia seterusnya melepaskan enam das tembakan ke rumah dan salah satunya mengenai bahu anak lelaki saya. Kemudian dia terus melarikan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Anggota keluarga mangsa tembak, T. Salamon
melihat kesan tembakan pada cermin hadapan sebuah kereta yang
diletakkan di hadapan rumah mereka di Taman Megah, Kajang, Hulu Langat,
semalam.
Tholilali berkata, Salamon dikejarkan ke Hospital Kajang oleh ahli
keluarganya serta dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaannya
kini dilaporkan stabil.
Menurut Tholilali, dia percaya suspek bertindak sedemikian akibat pinangan lelaki itu ditolak beberapa hari lepas hingga menyebabkan berlaku perselisihan faham antara keluarganya dengan suspek.
"Anak perempuan saya juga ada memberitahu bahawa suspek ada mengugut untuk membunuhnya melalui panggilan telefon semalam," ujarnya.
Sementara itu, suspek yang melarikan diri bersama pistol yang digunakannya ditahan polis berhampiran Mahkamah Kajang kira-kira tiga jam selepas kejadian.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika ditemui dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, mengesahkan kejadian tersebut.Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan