HALAMAN SANTAI

Selasa, 19 November 2013

Dewan Rakyat tolak usul tergempar serangan pengganas di Pulau Pom Pom

Oleh Md Izwan






















Usul tergempar yang dibawa oleh Pakatan Rakyat (PR) bagi membincangkan mengenai isu serangan pengganas di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah ditolak oleh Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Sandakan Wong Tien Fatt dan Kota Kinabalu, Jimmy Wong membawa usul tersebut susulan kenyataan Ketua Pengarah Bahagian Risikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (Esscom), Datuk Mohammad Mentek yang menyifatkannya sebagai  "kes terpencil".

"Saya rasa amat terkeliru. Adakah ini bermaksud tanggungjawab Esscom bukanlah menjaga keselamatan Sabah supaya bebas daripada sebarang pencerobohan bersenjata seperti ini, walaupun mereka adalah paramilitari yang masuk ke Sabah dari negara asing? Adakah ia bertanggungjawab untuk berperang sahajakah?" soal Wong sebaik usul tersebut ditolak dalam sidang media di lobi Parlimen pagi ini.

Sebelum itu, Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee menolak usul yang dibawa oleh kedua-dua MP tersebut di dalam Dewan Rakyat kerana perkara tersebut bukan sesuatu yang tergempar dan insiden tersebut masih dalam siasatan.

Dalam insiden tersebut, pasangan dari Taiwan telah diserang oleh pengganas yang menyaksikan suami Lim Min Hsu, 57 terbunuh manakala isterinya, An Wei Chang diculik dan dipercayai sudah diseludup masuk ke selatan Filipina.

Pihak polis mempercayai insiden tersebut didalangi kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang sering menculik pelancong di Sabah.

Wong juga mendesak kerajaan supaya menjelaskan mengenai peranan sebenar Esscom yang ditubuhkan susulan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

"Jadi saya ingin minta kerajaan menjelaskan, apakah mandat sebenar Esscom dan bilakah satu peristiwa dianggap sebagai 'jenayah' dan bilakah ia menjadi 'pencerobohan'.

“Rakyat Sabah amat keliru terhadap definisi-definisi yang bukan-bukan ini," kata Wong.

Pembentukan Esscom diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas ketika meninjau operasi pasukan keselamatan membanteras kumpulan pengganas dari selatan Filipina di Felda Sahabat 16, Lahad Datu.

Esscom meliputi lima daerah iaitu Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) pula merangkumi 10 daerah termasuk lima daerah Esscom serta Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan dan Semporna.

Tiada ulasan: