| Hazayani Zakaria, |
|
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dingatkan agar tidak mengabaikan Dun Sungai Limau walaupun BN kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun tersebut pada 4 November lalu.
Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar berkata, Mukhriz wajar meneruskan hasrat untuk menjadikan Sungai Limau sebagai Dun Angkat seperti yang dijanjikan ketika kempen PRK.
"Saya nak minta Datuk Mukhriz menunaikan janji untuk bersedia menjadi bapa angkat kepada Dun Sungai Limau walaupun tanpa kemenangan Barisan Nasional.
"Untuk jadi bapa angkat tak perlu tunggu BN menang. Kalau BN menang apa perlu untuk menjadi bapa angkat," katanya ketika ditemui Harakahdaily semalam.
Tambah beliau juga, Mukhriz sebagai Menteri Besar harus membangunkan Kedah secara sama rata tanpa mengira kawasan tersebut dimenangi parti mana.
"Saya minta dia memberi perhatian kepada perkara ini kerana ini adalah janji beliau jadi beliau mesti menunjukkan ketelusan beliau untuk membantu penduduk Sungai Limau dan membagunkan Sungai Limau khususnya untuk membangunkan petani padi," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Kerusi Dun Sungai Limau kekal milik PAS apabila calonnya, Mohd Azam Abdul Samat diisytiharkan menang dengan majoriti 1,084 undi.
Calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim memperoleh 10,985 undi manakala Mohd Azam mendapat 12,069 undi.
Mukhriz sewaktu berkempen di Sungai Limau baru-baru ini berkata beliau akan menjadikan Dun Sungai Limau sebagai Dun angkat beliau sekiranya BN menang dalam PRK kawasan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan