Husam Musa  
 
Husam Musa

SHAH ALAM - Jawatan Timbalan Presiden Pas bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandangnya Mohamad Sabu dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Pertembungan dua penjuru ini bakal berlaku ekoran Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa telah menarik diri sekaligus mengumumkan hanya akan mempertahankan jawatan yang disandangnya.

Mengikut kenyataan yang dihantar kepada Sinar Harian, Husam berbuat demikian kerana ianya adalah kemahuan sebenar akar umbi.

"Atas dasar itu saya memilih untuk bertanding naib presiden sahaja walau pun mendapat pencalonan yang agak baik untuk timbalan presiden," katanya.

Sebelum ini, Husam menyatakan akan membuat keputusan selepas Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan IBrahim Tuan Man mengumumkannya.

Sehubungan itu, semalam Tuan Ibrahim telah mengumumkan penolakannya terhadap jawatan nombor dua parti itu dan memilih menyertai Salahuddin Ayub dalam jawatan naib presiden.

Dalam pada itu, Husam juga berkata keputusan untuk mempertahankan jawatannya itu berikutan mendapat pencalonan yang lebih berbanding jawatan timbalan presiden.

"Saya anggap ia adalah isi hati, pedoman dan pilihan akar umbi Pas jawatan mana yang mereka inginkan saya tempatkan diri saya," kata lagi.