HALAMAN SANTAI

Isnin, 18 November 2013

Dr Mahathir miliki ‘sarjana’ kosong, kata Pak Samad

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK





Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (gambar) meminta mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad belajar mengakhiri karier politiknya dengan cara yang lebih mulia dan dihormati.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata sikap Dr Mahathir yang suka memberikan ulasan dalam pelbagai isu telah memperlihatkan dirinya hanya memiliki ‘sarjana kosong’ yang mahu mengkritik tetapi tidak mempunyai hujah konkrit.

"Saya fikir Dr Mahathir mahu masuk dalam semua bidang. Dia memiliki 'sarjana' kosong. Apa isu pun dia masuk juga.

“Beliau harus berakhir sebagai pemimpin mulia dan dihormati. Bukan pemimpin yang terlalu banyak cakap. Biar cakap sedikit tetapi berisi. Ini semuanya dia mahu cakap,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Awal Oktober lalu, Perdana Menteri paling lama memerintah negara itu menyelar tindakan kerajaan membatalkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kerana menurutnya tindakan kerajaan itu diambil kerana terlalu mendengar permintaan Pak Samad.

Dr Mahathir berkata Pak Samad hanya seorang sasterawan yang mahir dalam bahasa Melayu tetapi tidak ilmu sains dan beliau memberikan contoh dirinya meskipun mahir dalam sains dan bahasa Inggeris tetapi masih boleh berbahasa Melayu.

Pak Samad berkata apa yang dilakukan Dr Mahathir hari ini tidak lain hanyalah bagi memastikan anaknya yang juga Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir dapat mewarisi kepimpinan negara suatu hari nanti.

“Beliau terkadang membesar-besarkan dan kita tahu beliau mahu melandaskan anaknya, Mukhriz bagi menyambung warisannya. Tidak mengapa tetapi lakukanlah dengan cara yang baik. Kita tahu pemimpin membibitkan pemimpin tetapi ia harus dilaksanakan dengan baik, jujur dan mulia.

“Jika berkata tentang Mukhriz, hampir semua ciri ada padanya seperti harta, nama dan kemampuan.
Kemungkinan besar Mukhriz akan memimpin negara tetapi biarlah di landasan yang baik dan jangan menyalahkan orang. Masa Mukhriz itu akan tiba kerana beliau ada unsur sebagai seorang pemimpin yang memungkinkannya,” katanya.

Sehari sebelum pemilihan merebut jawatan naib presiden Umno, Dr Mahathir telah menjangkakan peluang Mukhriz hanya sekadar 50% atau kurang bagi memenangi jawatan itu yang terbukti dimenangi oleh ketiga-tiga penyandangnya iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dr Mahathir berkata Mukhriz adalah calon yang ingin membawa perubahan kepada Umno tetapi malangnya terdapat pemimpin sedia ada enggan menerima perubahan itu dan menurutnya perwakilan Umno akan memilih calon mengikut kehendak presiden parti setelah hal itu terbukti semasa pemerintahannya apabila tiada calon yang menang menentang pemerintahan beliau.

Pak Samad berkata sudah tiba masanya bagi Dr Mahathir untuk tidak lagi mengganggu hal pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan memberi kebebasan sepenuhnya kepada anggota kabinet untuk menentukan masa depan negara.

“Biarlah Dr Mahathir menyentuh isu besar dan asas yang bersifat antarabangsa. Biarlah hal dalam negara difikirkan oleh otak-otak di dalam kerajaan,” katanya.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0 itu turut menyifatkan Dr Mahathir sebagai seorang pemimpin yang gemar mencipta permusuhan setelah kebanyakan pemimpin di Malaysia pernah dijadikan sasaran bagi meneruskan karier politiknya.

“Cuba namakan mana pemimpin yang Dr Mahathir tidak bergaduh. Beliau bergaduh dengan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Tidak mungkin semua orang sentiasa salah. Mesti ada orang yang betul di suatu waktu. Oleh kerana akhbar juga melayannya maka beliau pun seronok,” katanya.

Dr Mahathir semasa menjawab kritikan Abdullah menerusi buku “Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia” pada Ogos lalu berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Abdullah pada 2008 adalah sebuah kerajaan yang kaya namun rakyat masih tetap memilih pembangkang.

Katanya, walaupun Abdullah mampu membuatkan kerajaan menyimpan berbilion ringgit tetapi rakyat tetap menyerahkan lima negeri kepada pembangkang dan BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Abdullah menerusi buku itu menyebut, Malaysia akan jatuh muflis sekiranya beliau mengikut jejak langkah berbelanja secara boros seperti Dr Mahathir namun beliau kemudiannya berkata kenyataan itu adalah tafsiran penulis dan bukan dirinya sendiri.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam nada sinis mengatakan berbilion ringgit dapat diselamatkan sekiranya beliau bersara lebih awal sambil menamakan beberapa projek di bawah pemerintahannya seperti Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Jambatan Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pelabuhan Barat, Putrajaya dan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Beliau mendakwa perbelanjaan besar juga terpaksa ditanggung kerajaan apabila Abdullah membatalkan projek yang dirangkanya apabila terpaksa membayar pampasan kepada kontraktor. –

Tiada ulasan: