Hasan sedia sertai Pas semula
KELAB GREENBOC
SHAH ALAM – Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sedia mempertimbangkan untuk kembali menyertai Pas jika parti itu betul-betul memperjuangkan Islam, memartabatkan Melayu, menjaga kesucian institusi diraja dan Perlembagaan negara.
Menurutnya, keputusan beliau juga bergantung kepada kehendak ahli dan penyokong Pas terutamanya pimpinan tertinggi jika mahukannya kembali kepada parti itu.
“Jika keadaan mengizinkan, ertinya jika perjuangan Pas di landasan betul dengan memperjuangkan Islam, keistimewaan Melayu, institusi diraja dan menghormati peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan, saya sedia mempertimbangkannya,” katanya pada sidang media, semalam.
Ketika mengulas mengenai Muktamar Pas ke-59 yang menyaksikan pertembungan golongan ulama dan pemimpin erdogan dalam perebutan jawatan timbalan presiden beliau menegaskan, Pas perlu dipimpin golongan ulama agar perjuangannya kembali kepada matlamat penubuhan asalnya yang kini goyah disebabkan wujud golongan ‘Anwarinas’ yang didakwanya seperti anai-anai yang mahu merosakkan parti itu.
“Namun saya berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan faktor utama kerana ia lebih kepada parasit dalam Pas yang berusaha menjatuhkan perjuangan asal. Saya secara peribadi mahu golongan ulama memimpin Pas, presiden, timbalan dan naib presidennya di kalangan ulama yang mementingkan ilmu dunia dan akhirat dan saya dapati pemimpin sebegitu ada dalam Pas,” katanya yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati).
Dalam pada itu, beliau berpendapat supaya Pas mengkaji semula kedudukan parti itu dalam PR kerana peranan Pas seakan-akan tidak menonjol lebih-lebih lagi selepas PRU13.
“Seterusnya ialah tentang PR itu sendiri. Terdapat resolusi dan saya yakin ia akan dibawa ke muktamar iaitu mengkaji semula kedudukan Pas dalam PR.
“Saya harap ia dapat dicerminkan dalam muktamar kali ini dan keputusannya Pas meninggalkan PR,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas III Selangor, Khalid Abdul Samad ketika diminta mengulas kesediaan Hasan itu, beliau berkata, tiada masalah untuk Pas menerimanya semula sekiranya beliau benar-benar memahami perjuangan parti itu yang meletakkan Islam yang teratas.
“Jika dia (Hasan) kata akan pertimbangkan kembali kepada Pas jika kita perjuangkan Islam, Melayu, institusi diraja dan Perlembagaan bagi saya itu alasan yang tiada kekuatan.
“Apa yang penting, jangan letakkan Melayu, raja, dan agama setaraf kerana Islam lebih penting dari segalanya-galanya kerana kedudukan Melayu dan raja itu perlu dibela dari sudut dan kehendak Islam.
“Kalau Hasan boleh memahami ini dan meletakkan keadilan Islam sebagai yang terpenting maka kita tiada masalah tetapi jika ia diperjuangkan dalam konteks yang tidak selari dengan tuntutan Islam, itu sebabnya dia menghadapi masalah dengan Pas,” katanya.
Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi pula berkata, pendirian Hasan itu sebenarnya membawa banyak mesej antaranya mahukan Pas kembali ke jalan yang benar jika keluar berpisah daripada DAP.
Dakwanya, Pas dilihat kurang memperjuangkan Islam contohnya seperti isu kalimah ALLAH, azan dan hukum hudud.
“Pada pendapat saya, selagi Pas ada dalam kelompok DAP, parti itu sukar untuk melaksanakan perjuangannya yang dikatakan berlandaskan Islam itu,” katanya. -SH
ULASAN GB
Kata Hassan Ali dipetik:
“Namun saya berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan faktor utama kerana ia lebih kepada parasit dalam Pas yang berusaha menjatuhkan perjuangan asal. Saya secara peribadi mahu golongan ulama memimpin Pas, presiden, timbalan dan naib presidennya di kalangan ulama yang mementingkan ilmu dunia dan akhirat dan saya dapati pemimpin sebegitu ada dalam Pas,” katanya yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati).
Di dalam posting sebelum ini, Hassan Ali telah menamakan "parasit" yang dimaksudkan itu ialah golongan profesyenal yang ada di dalam PAS.
Dan beliau kini menyatakan golongan parasit ini yang berusaha untuk menjatuhkan "perjuangan asal".
Saya tertarik dengan ungkapan "perjuangan asal" yang disebut olehnya. Apakah Hassan ALi tahu dan mengerti apa sebenarnya "perjuangan asal" PAS? Apakah beliau berada di kalangan mereka yang sama-sama menubuhkan PAS sehingga menyatakan "perjuangan asal" PAS itu telah dikhianati?
Benar, dakwaan beliau di atas ternyata terlalu melampau, jauh melepasi batas ‘adaabul ikhtilaf’, dan yang terbukti parasit, mengikut hukum kebenaran dan keadilan yang telah berjalan, parasit yang dimaksudkan itu ialah beliau sendiri. Beliau yang telah dipecat dari parti.
Sebelum dari ini GB pernah mengulas, petikan:
Alhamdulillah, akhirnya duri dalam daging itu akhirnya dapat dikeluarkan.
Semuga ketegasan PAS kali ini memberi pengajaran kepada yang lain terutama kepada saki-baki UG yang masih ada di dalam parti yang sebelum ini kelihatan menyokong Hassan Ali.
Tak payah GB sebutkan nama mereka.
Allah berhak untuk memilih siapa saja yang layak untuk dijadikan pemimpin di dalam partiNya sekalipun bukan dari kalangan ulamak dan akan mengeluarkan sesiapa dari partiNya walaupun dia seorang ulamak ternama. Kerana perjuangan parti Islam menuntut bukan sahaja "keilmuan" tetapi yang terlebih penting ialah KEIKHLASAN!
Seorang penampal poster dan seorang blogger picisan mungkin lebih layak diangkat menjadi pemimpin jika dia lebih ikhlas di dalam perjuangan daripada seorang Ketua Pemuda ataupun Ketua Ulamak parti sekalipun tetapi angkuh dan takbur.
Hal ini pernah disabdakan oleh Rasulullah saw.
Aku wasiatkan pada kalian untuk bertakwa kepada Allah serta mendengarkan dan mentaati (pemimpin Islam), meskipun yang memimpin kalian seorang budak hitam berbangsa Habsyi. Sohih riwayat Abu Dawud dan lainnya.
Tidak timbul soal ulama atau profesyenal di dalam memilih pemimpin jika kita teliti hadith di atas.
Akui atau tidak, Hassan Ali kini sedang menderita... bukan jasad, tetapi jiwanya yang menderita. Menderita kerana sudah tidak berada di dalam jemaah PAS lagi. Jiwa Islami apabila tidak lagi menerima pengakuan sebagai ahli jemaah akan mengalami penderitaan yang parah. Mereka yang sudah terbiasa hidup di dalam lingkungan jemaah dengan aktiviti-aktiviti seperti usrah, tarbiyah dan seumpamanya akan mengerti apa yang GB cuba sampaikan ini.
Jika Hassan Ali ikhlas dan jujur di dalam perjuangannya, besar kemungkinan hari ini beliau adalah diantara pemimpin PAS Selangor yang paling kanan untuk dicalonkan sebagai MB Selangor.
Tujuan GB menulis entri ini bukan untuk menghenyak orang yang telah jatuh, tetapi ingin menarik perhatian tentang perlunya seseorang ahli jemaah untuk berlaku "ikhlas dan jujur" (sincerity & honesty) di dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan.
Namun demikianlah "sibghah" (celupan) dan perancangan Allah... Hassan Ali kini sudah menjadi sejarah...
Untuk kembali ke dalam jemaah, tidak sukar, beliau perlu membersihkan "niatnya" semula dan niat itu letaknya di dalam "hati", bukan pada PhD yang dimiliki. Hati itulah yang perlu disucikan semula. InsyaAllah!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan