HALAMAN SANTAI

Rabu, 13 November 2013

Ekovest mula pembangunan fasa dua Lebuh Raya Duke dalam tempoh 2 minggu


THE MALAYSIAN INIDER

 
Ekovest Bhd akan memulakan pembangunan fasa dua Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dalam tempoh dua minggu dengan melibatkan kos pembinaan RM1.183 bilion, kata Pengarah Urusan Lim Keng Cheng.

Fasa dua, menyaksikan pembinaan lebuh raya bertingkat yang akan melengkapkan DUKE sedia ada, akan siap pada tahun 2015.

Penyambungan DUKE terdiri daripada dua rangkaian tambahan, iaitu Sri Damansara Link dan Tun Razak Link.

Kedua-dua rangkaian itu dicadangkan untuk mempunyai jalan berkembar dengan Tun Razak Link sepanjang sembilan kilometer sementara Sri Damansara Link pula tujuh kilometer.

"Lebuh raya itu akan bertindak sebagai hubungan di antara Jalan Lingkaran Tengah 1 (MRR1) dan MRR2," kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa syarikat di sini hari ini.

Penyambungan itu akan dibiayai menerusi terbitan sukuk senior dan bon junior bernilai RM2.3 bilion.

Baki perolehan akan digunakan untuk penebusan bon-bon dan sukuk junior sedia ada.
Lim berkata penyambungan DUKE akan meraih pendapatan tol tambahan seiring dengan jangkaan pertambahan jumlah trafik.

Beliau menambah syarikat berminat untuk mengendalikan projek sama di bahagian selatan Kuala Lumpur dan telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

"Kami menjangka mendapat maklum balas dalam tempoh enam bulan ini.

"Pastinya, kami tidak akan berhenti di DUKE 2. Kami mahu terus berkembang," tambah beliau.
Untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2013, bahagian pembinaan Ekovest menyumbang 87% kepada pendapatan kumpulan sementara baki 13% daripada kutipan tol.

Pendapatan merosot kepada RM61.11 juta daripada RM73.04 juta dalam tahun sebelumnya sementara keuntungan sebelum cukai susut kepada RM29.9 juta berbanding RM33 juta sebelumnya.

"Secara idealnya, kami mahu mempunyai 30% pendapatan daripada bahagian pembinaan, 30% daripada pembangunan infrastruktur dan 40% daripada perniagaan hartanah," kata Lim.

Setakat ini, syarikat mempunyai perolehan kontrak bernilai RM2 bilion. - Bernama

Tiada ulasan: