HALAMAN SANTAI

Rabu, 13 November 2013

PAS tolak dakwaan gambar kepala anjing unsur sabotaj calon

OLEH DIYANA IBRAHIM



















Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Asmuwi Ani hari ini menolak perbuatan meletakkan gambar calon ketua Pemuda parti Islam itu dengan kepala anjing adalah tindakan untuk mensabotaj calon lain.

"Kali pertama dalam sejarah pemilihan PAS, berlaku perkara seumpama ini dan bagi kami ia bukan sahaja memalukan namun meletakkan gambar anjing perkara yang amat melampaui batas norma dengan merendah-rendahkan martabat manusia,"katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun beliau berkata amat sukar untuk mengetahui siapakah dalang di sebalik perbuatan tersebut memandangkan ramai pihak yang dilihat begitu ghairah dengan perkembangan pemilihan PAS.

"Agak mengejutkan kerana pemilihan PAS kali ini mendapat minat luar biasa daripada pelbagai pihak sama ada para blogger hinggalah kepada parti politik lawan atau yang dalam Pakatan sendiri. Mereka begitu ghairan mengetahui bentuk kepimpinan bagaimanakah yang akan dibarisi kelak kerana sedikit sebanyak akan mempengaruhi corak pilihan raya umum (PRU) kelak.

"Kerana itu kita tidak boleh pastikan siapa dalang di sebalik perbuatan tersebut yang mungkin  angkara orang dalam parti atau luar, tidak kira parti politik atau boleh jadi juga badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai motif ," katanya.

Tegas beliau, apa yang menjadi keutamaan sekarang ialah perasaan calon itu sendiri kerana  lebih wajar sekiranya calon tersebut tampil membuat aduan.

"Kalau calon mempunyai bukti ada kaitan dengan orang dalam maka dia perlu datang kepada kita dan membuat laporan supaya boleh dirujuk kepada lembaga disiplin bagi tindakan lanjut. Namun jika ia perbuatan orang luar maka dia boleh membuat laporan polis," katanya.

Sebelum ini calon ketua Pemuda PAS, Zulhasmi Shariff menjadi mangsa kempen kotor apabila gambarnya yang digantikan dengan kepala anjing tersebar dalam laman Facebook "Fikrah Islamiah Pilihan Kami" .

Zulhasmi dalam reaksinya mengenai perkara tersebut berkata telah menyerahkan perkara tersebut kepada Pejabat Agung Parti untuk menyiasat.

Tiada ulasan: