Para hakim dicadangkan agar tidak menerima gelaran kehormat yang dikurniakan oleh ketua-ketua negeri untuk mengelakkan persepsi negatif bahawa kebebasan badan kehakiman telah terjejas, kata ahli politik dan peguam veteran Karpal Singh (gambar).
Beliau berkata hakim-hakim terpaksa mengendalikan pelbagai kes daripada semua lapisan masyarakat dan ini termasuklah kalangan ahli-ahli keluarga diraja.
"Adalah lebih baik jika para hakim menolak sebarang anugerah bagi gelaran untuk mengekalkan institusi mereka. Selain itu, ia juga bagus untuk menjaga integriti peribadi mereka sebagai hakim," katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau yang juga Pengerusi DAP berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan hakim bersara Datuk VT Singham bahawa badan kehakiman hanya akan bebas apabila semua hakim berhenti mengharapkan ganjaran kewangan dan gelaran kehormat atas tugas yang dijalankan mereka.
Singham yang bersara empat bulan lepas, berkata demikian dalam satu ceramah kepada peguam dan ahli akademik di Kuantan pada Sabtu lalu bahawa bukanlah kebebasan badan kehakiman itu yang perlu ditangani tetapi hakim sebagai individu itu sendiri.
"Kebebasan badan kehakiman terletak pada kewibawaan dan hati nurani setiap hakim. Hakim yang diamanahkan dengan sumpah kehakiman dan ikrar untuk melaksanakan tugas mereka perlu berbuat demikian tanpa mengharapkan apa-apa balasan sama ada berbentuk kewangan, gelaran atau kenaikan pangkat," beliau berkata.
Karpal berkata terdapat keadaan di mana terlalu kerap hakim yang menerima anugerah gelaran sehingga menimbulkan tanda tanya masyarakat umum sama ada pegawai-pegawai kehakiman itu terlalu ghairah mengumpul anugerah.
"Kita harus mempunyai keberanian untuk menolak anugerah itu, " katanya.
Beliau berkata orang ramai akan menilai hakim bukan berdasarkan berapa banyak anugerah atau gelaran yang diterima tetapi kecekapan dan peribadi mereka.
"Apa yang paling penting adalah siapa dan apa anda sebenarnya. Seseorang akan dimuliakan kerana kesempurnaan peribadinya."
Karpal berkata individu harus menjadi seorang yang boleh diteladani perwatakan dan tindakan beraninya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan