SEREMBAN – Setiap acara mahupun majlis perlu dimulakan dengan bacaan doa dan ayat suci al-Quran terlebih dulu supaya majlis berjalan lancar dan selamat.
Pengasas Pusat Rawatan Islam Attobibi Nilai, Ustaz Datuk Shamsuri Shafie berkata, majlis persembahan kebudayaan yang dimulakan dengan bacaan mantera adalah haram di sisi Islam.
“Bagi mendapat rahmat dan keberkatan sesuatu majlis itu, eloklah dimulakan dengan bacaan doa dan ayat suci al-Quran. Meskipun majlis itu berbentuk hiburan sekalipun, bacaan doa permulaan majlis harus dilakukan dan perlu berniat hiburan kerana ALLAH SWT,” katanya.
Berhubung insiden 15 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang dirasuk ketika melakukan persembahan ulek mayang dan kuda kepang di Pantai Batu 1, Port Dickson, malam Sabtu lalu, Shamsuri berkata, persembahan itu berbentuk pemujaan roh.
“Persembahan tarian tradisional ini biasanya dimulakan dengan bacaan mantera untuk memanggil roh.
“Kuda kepang dan ulek mayang yang dipersembahkan dengan tarian mengasyikkan akan membuat penonton terhibur dan terpukau tatkala roh yang dipuja mula merasuk para penari,”katanya.
Shamsuri berkata, penonton yang menyaksikan persembahan itu juga akan turut dirasuk apabila roh dipuja dengan tarian dan muzik.
“Orang ramai yang berada berhampiran juga boleh diserang histeria. Apabila histeria terjadi, dalam masa dua saat sahaja boleh berjangkit kepada orang lain.
Menurutnya, lokasi tepi pantai tidak sesuai ditambah pula persembahan dilakukan pada waktu malam.
“Orang dulu-dulu sering menjadikan kawasan tepi pantai sebagai lokasi pemujaan roh dan makhluk mistik.
“Penggunaan lagu dan tarian yang memanggil roh ditambah pula faktor lokasi dan suasana malam menjadi faktor mudah dirasuk dan diserang histeria,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan