SHAH ALAM - Saingan penyandang dan calon jawatan Naib Presiden Pas tidak boleh disamakan dengan situasi yang berlaku dalam keputusan pemilihan Umno lalu yang mengekalkan semua penyandang.
Prof Dr Azmi Hassan berkata, ini kerana sokongan kumpulan dalam Umno tidak begitu ketara berbanding Pas di mana terdapat pertembungan antara pasukan ulama dan Erdogan.
Malah katanya, situasi ini bukan sahaja diterjemahkan dalam pertandingan naib presiden tetapi timbalan presiden.
“Di antara ketiga-tiga penyandang (Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar), saya pasti salah seorang akan dikorbankan bagi membawa kumpulan ulama diwakili (Ketua Penerangan Pas, Datuk) Tuan Ibrahim (Tuan Man).
“Tuan Ibrahim disokong kumpulan ulama secara tersusun, kalau dibandingkan dengan Datuk Mukhriz, yang bergantung kepada aura sahaja, tiada gerakan berkumpulan,” katanya.
Katanya, perolehan undian kedua tertinggi bagi pencalonan timbalan presiden menunjukkan Tuan Ibrahim begitu popular di kalangan akar umbi.
“Beliau orang lama yang kukuh kedudukannya. Sebab itu saya rasa peluang beliau lebih cerah kalau hendak dibandingkan dengan senario pemilihan Umno sebelum ini.
“Tetapi kedudukan (bekas Ketua Pemuda Pas) Datuk Abu Bakar Chik untuk jawatan itu agak tipis,” katanya.
Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, persaingan jawatan naib presiden penting memandangkan mereka pelapis, sebagaimana dalam Umno, untuk berganding dengan presiden dan timbalan presiden.
Beliau berkata, jawatan naib presiden harus diberikan perhatian kerana ia lapisan ketiga yang boleh menjadi pengganti mana-mana pemimpin utama parti, sekiranya berlaku sesuatu.
“Tuan Ibrahim jauh lebih popular malah untuk jawatan timbalan presiden pun, bermakna beliau dilihat antara pemimpin induk yang digemari oleh kepimpinan Pas," katanya.
Sivamurugan berkata, pengaruh, pengalaman dan kepimpinan Tuan Ibrahim dalam Pas memberi kekuatan dan kelebihan bagi jawatan tersebut.
Katanya, mungkin Husam akan diterima kerana beliau menerima banyak pencalonan untuk jawatan timbalan presiden dan naib presiden.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan