Ahli
Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari menyifatkan cadangan
Putrajaya untuk mengehadkan jangka hayat kereta kepada 12 tahun tidak
sesuai dilaksanakan ketika ini tatkala harga kereta di Malaysia masih
lagi tinggi.
OLEH MD IZWAN
Pakatan Rakyat hari ini menolak rancangan
pelaksanaan oleh Putrajaya untuk mengehadkan jangka hayat kereta kepada
12 tahun sahaja.
Ahli Parlimen Bukit Bendera (DAP), Zairil Khir Johari menyifatkan
cadangan tersebut tidak sesuai dilaksanakan ketika ini tatkala harga
kereta di Malaysia masih lagi tinggi dan soal kemampuan rakyat Malaysia
membeli kereta baru.
"Sebenarnya daripada segi polisi adalah baik tetapi cuma keadaan semasa ketika ini bagi saya ia tidak sepatutnya dilaksanakan.
"Hal ini disebabkan kerana harga kereta di Malaysia masih lagi tinggi
dan soalnya adakah orang ramai mampu untuk membeli kereta baru jika ia
dilaksanakan," kata Zairil ketika dihubungi The Malaysian Insider hari
ini bagi mengulas isu tersebut.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi baru-baru ini
berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuat pertimbangan
teliti untuk menetapkan had jangka hayat kenderaan di negara ini.
Sebelum itu, Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia
(Miros) Prof Dr Wong Shaw Voon mendedahkan bahawa kereta berusia lebih
12 tahun tidak selamat untuk berada di jalan raya.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli juga membuat bantahan terhadap langkah kerajaan itu sebelum ini.
Menurut Zairil, langkah tersebut dilihat bakal membebankan rakyat
kerana sudah pun terpaksa berhutang lama dan kemudiaannya terpaksa
berhutang lagi apabila terpaksa menuruti peraturan baru yang ingin
dilaksanakan kerajaan.
"Kalau perbandingan dengan harga kereta di negara lain, kebanyakan
negara dimana rakyat membeli kereta sudah habis bayar dalam tempoh dua
ke tiga tahun. Malah di Filipina, paling lama pun rakyatnya membayar
habis kereta yang dibeli adalah lima tahun.
"Tapi di Malaysia disebabkan harga kereta yang mahal, rakyat terpaksa
berhutang selama 7 hingga 9 tahun untuk melangsaikan hutang sepenuhnya,"
terang pemimpin DAP itu lagi.
Dalam pada itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar membidas langkah
tersebut sebagai tidak adil kerana membebani rakyat dan sepatutnya
kerajaan terlebih dahulu mengurangkan dahulu duti eksais/import serta
menurunkan harga kereta terlebih dahulu sebelum melaksanakan cadangan
tersebut.
"Saya fikir ini satu tindakan yang tidak adil kepada rakyat kerana
cukai eksais dan import masih tinggi, harga kereta juga masih tinggi
"Kerajaan sepatutnya memikirkan tentang kemampuan rakyat terlebih
dahulu kerana ini hanya membebaskan rakyat ketika harga kereta lama
tidak bernilai, mereka tidak mampu untuk membeli kereta baru," kata
Mahfuz kepada The Malaysian Insider.
Mahfuz juga menyifatkan kerajaan tidak lagi memikirkan tentang
kepentingan rakyat sebaliknya mencari cara untuk menambah beban kepada
rakyat sahaja.
"Kerajaan kenalah berlaku adil, sekarang ini nampaknya kerajaan nak
dapatkan hasil dan pendapatan sahaja tapi bukannya berfikir untuk
meringankan beban rakyat.
"Langkah ini hanya akan membebankan lagi rakyat yang sudah tersedia
dibebani dengan kenaikkan kos sara hidup harian," tegasnya lagi.
Sementara itu, Rafizi juga mengulas mengenai isu sama, menyifatkannya
sebagai satu lagi langkah yang akan menambah hutang isi rumah yang sudah
sedia terbeban dengan peningkatan kos sara hidup seharian.
"Dengan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan ini, selepas tiga tahun
keluarga-keluarga di Malaysia terpaksa membuat hutang baru untuk membeli
kereta.
"Keadaannya lebih parah bagi pembeli daripada keluarga berpendapatan
rendah. Kebanyakan mereka hanya mampu membeli kereta terpakai yang sudah
pun berusia," kata hli Parlimen Pandan tersebut.
Menurut Rafizi, masalah utama bersabit pemilikan kereta di Malaysia
pernah dilaporkan sebagai kedua termahal di dunia ialah struktur cukai
dan pasaran domestik yang menyebabkan harga naik melambung.
"Wujudnya cukai eksais yang melebihi 100% ke atas kereta-kereta yang
digunakan oleh keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menyebabkan
harga kereta terlalu mahal dan menenggelamkan keluarga dengan hutang
kereta yang terlalu tinggi.
"Cukai eksais yang terlalu tinggi ini juga memberi ruang kepada
syarikat-syarikat pengeluar dan pengedar kereta untuk bersembunyi di
sebalik struktur cukai ini untuk mengambil keuntungan yang lebih tinggi
berbanding di negara lain.
"Oleh kerana pelaksanaan cukai eksais dan pemberian rebat cukai eksais
adalah tidak telus, maka struktur margin keuntungan di atas setiap
kereta yang dibeli juga tidak telus," katanya.
Akibatnya, dakwa beliau, harga kereta di Malaysia terus kekal menjadi antara yang tertinggi di dunia.
Bagi Zairil, rakyat Malaysia tidak mempunyai pilihan selain menggunakan
kereta untuk tempoh yang lama memandangkan sistem pengangkutan awam
negara yang masih lagi buruk.
Beliau sebaliknya menggesa kerajaan untuk memperbaiki sistem
pengangkutan awam di dalam negara terlebih dahulu sebelum mengambil
langkah drastik untuk menghadkan jangka hayat kereta.
"Langkah tersebut dilihat tidak praktikal kerana ketika ini sistem
pengangkutan awam negara masih lagi tidak baik dan menyebabkan rakyat
terpaksa menggunakan kereta yang berusia lamanya untuk tugasan harian.
"Apa yang sepatutnya kerajaan buat ketika ini adalah perbaiki dahulu
sistem pengangkutan negara sebelum melaksanakannya," tegas Zairil lagi.
September lalu, akhbar perniagaan mendedahkan laporan harga kereta di
Malaysia antara kedua tertinggi daripada 10 negara lain di dunia jika
dibandingkan dengan negara lain, merujuk kepada laporan automobil
Amerika Syarikat, Jalopnik.
Jalopnik dalam laporan di webnya mendedahkan Singapura dan Malaysia
berkongsi kedudukan di ranking kedua harga kereta tertinggi, diikuti
negara Indonesia, Nicaragua, China, Brazil, United Kingdom, St Kitts dan
Nevis, Korea Utara dan Cuba.
Malahan, Pakatan juga sebelum ini dalam manifesto semasa piliihan raya
umum ke-13 turut berjanji akan menurunkan harga kereta sekiranya berjaya
merampas Putrajaya daripada kerajaan Barisan Nasional
Tiada ulasan:
Catat Ulasan