Mendesak keputusan pilihan raya kampus itu digantung sehingga siasatan oleh badan bebas.
PETALING JAYA: Proses pilihan raya kampus Universiti Malaysia Sabah (UMSKAL) kampus antarabangsa Labuan tidak cekap, dakwa Pengerusi Pro-Mahasiswa universiti itu, Muhammad Fadhil Abdul Ghani.
Beliau memberi lima faktor:
- Mahasiswa tidak dapat mengundi kerana gagal mengakses akaun pengundian.
- Mahasiswa gagal mengundi kerana paparan skrin kaku.
- Masalah teknikal pada komputer (CPU) pengundian.
- Perisian tergendala pada waktu akhir pengundian.
- Kesilapan pada jumlah undian yang diumumkan.
Muhammad Fadhil berkata, pilihan raya ini dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMSKAL dengan kaedah undi elektronik atau e-voting yang memerlukan mahasiswa mengakses akaun dengan menggunakan kata laluan khas.
“Berdasarkan pemerhatian kami, terdapat beberapa kes ketidakcekapan telah berlaku pada hari pengundian yang menyebabkan proses pengundian terganggu. Masalah ini telah mencacatkan pilihan raya kampus UMSKAL sekaligus mencalari ruang demokrasi mahasiswa,” katanya dalam memorandum kepada Pakatan Rakyat.
Tidak dapat akses
Beliau menambah, terdapat sebilangan pelajar tidak dapat mengakses masuk ke akaun pengundian kerana kata laluan yang diberikan oleh petugas pilihanraya ditolak oleh sistem.
Hal ini menyebabkan pelajar tersebut gagal untuk mengundi dan kehadiran pelajar tersebut dikira sebagai undi rosak.
Berikutan itu, ProM UMSKAL mencadangkan agar ahli parlimen Pakatan Rakyat mengusulkan supaya ditubuhkan satu suruhanjaya khas parlimen bagi menyemak proses pilihan raya kampus yang digunapakai di seluruh institusi pengajian tinggi tempatan.
Suruhanjaya Khas ini perlu berfungsi untuk :
Membuat semakan terperinci mengenai proses pilihan raya kampus di semua IPT tempatan merangkumi proses sebelum, semasa dan pasca pilihan raya.
Membuat penarafan bagi menentukan samada pilihan raya kampus menepati standard pilihan raya seperti mana yang digariskan di bawah
Deklarasi Prinsip Pemantauan Pilihanraya Antarabangsa dan Tatacara Pemantauan Pilihan raya.
Mengeluarkan syor kepada Kerajaan Malaysia mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi menaiktaraf pilihan raya kampus di Malaysia.
Tubuh SPR mahasiswa
Pro M turut mendesak kementerian Pendidikan melaksanakan beberapa tuntutan, antaranya menuntut UMSKAL menggantung keputusan pilihan raya kampus itu sehingga siasatan oleh badan bebas.
“Memansuhkan sistem e-voting bagi menjamin sistem pilihan raya yang lebih telus, maka kami mendesak agar pihak UMS mengembalikan sistem pengundian manual.
“Menubuhkan suruhanjaya pilihan raya mahasiswa untuk mengendalikan pilihan raya kampus secara mandiri, kerana suruhanjaya pilihan raya bebas ini telah diguna pakai di beberapa universiti terkemuka dalam dan luar negara.
“Sekiranya Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) boleh mewujudkan badan pemerhati bebas bagi memantau perjalanan Pilihanraya Umum, maka kami mendesak supaya pihak UMS juga mewujudkan badan pemerhati bebas bagi memantau perjalan ilihan raya kampus.
“Badan pemerhati ini mestilah sebuah badan yang berpengalaman dalam menilai dan memantau pilihan raya seperti Institute For Democracy and Economic Affair (Ideas) dan Malaysian For Free And Fair Election (Mafrel),” katanya lagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan