HALAMAN SANTAI

Sabtu, 16 November 2013

Hudud: Kelantan Peruntuk RM1 Juta


Mahirah Zakaria

alt
 
 
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM1 juta dalam Bajet 2014 bagi membeli segala persiapan dalam usaha merealisasikan pelaksanaan hukum hudud di negeri itu.
 
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, hukum tersebut akan dilaksanakan setelah menerima maklum balas daripada beberapa pihak termasuk pakar perlembagaan.
 
“Sebenarnya sebelum pilihan raya umum (lalu), kita telah beberapa kali bincang tetapi tidak dedahkan, untuk tahun depan Menteri Besar telah masuk RM1 juta dalam bajet untuk persiapan prasarana bagi melaksanakan hudud.
 
"Kita tengok keperluan untuk laksana hudud tetapi nak buat, kena dapatkan pandangan pakar dahulu, termasuk pensyarah universiti dan pengamal undang-undang. Insya-ALLAH mereka akan bagi pendapat dan selepas itu kita akan laksanakan,” katanya pada kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di Kota Bharu semalam.
 
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Muhammad, yang menyatakan kesediaan pihaknya kuat kuasa hudud selepas bangunan kompleks Mahkamah Syariah di Tunjung beroperasi.
 
Menurut Mohd. Amar, terdapat beberapa kekangan yang membuatkan pihaknya menangguhkan usaha pelaksanaan hukum itu termasuk kekangan dari Pusat.
 
“Sebelum ini kita berhenti kerana lampu merah (sekatan). Kita ‘free gear’ tetapi tidak matikan (enjin) kereta, oleh kerana lama sangat, jadi kita intai kalau-kalau polis tiada. Sekarang kita akan teruskan dengan harapan polis tidak sekat," katanya.
 
Sementara itu, Persatuan Peranakan Cina Kelantan, mendakwa masih ramai dalam kalangan bukan Islam tidak bersetuju pelaksanaan hukum hudud jika ia melibatkan lain-lain kaum.
 
Penasihatnya, Law Awang berkata, Kelantan mempunyai masyarakat majmuk dan hudud tidak sepatutnya dilaksanakan kepada kaum bukan Islam.
 
“Sekarang kalau mahu melaksanakan hukum hudud, ia melibatkan agama lain. Kita tidak setuju tetapi jika dilakukan untuk agama Islam sahaja, kita tidak membantah.
 
“Dalam masyarakat majmuk, kita tidak boleh buat begitu (hudud) kerana apabila ia lulus, ia boleh melibatkan orang lain termasuk bukan Islam secara automatiknya kerana kita berada di Kelantan,” katanya.

Tiada ulasan: