HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 November 2013

Sijil Halal : JAIS Gagal Laksana Tanggungjawab

Alif Mustapha
alt
 
 
PUCHONG  - Kegagalan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam memberikan respon terhadap permohonan sijil halal kepada pengusaha makanan di Bazaar dan Medan Selera Prima Walk turut disifatkan sebagai 'gagal' dalam menjalankan tanggungjawab sebagai badan penguatkuasaan berkaitan Islam.
 
Pengurus Operasi Bazaar dan Medan Selera Prima Walk, Ab. Latif Mohamad berkata, permohonan sijil halal yang melibatkan peniaga Melayu di bawah seliaannya disambut suram oleh pihak JAIS.
 
"Pihak Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM) pernah menganjurkan satu perjumpaan untuk mendidik para peniaga dengan menjemput Kementerian Kesihatan dan JAIS. Namun pegawai kementerian kesihatan sahaja yang hadir dan JAIS gagal hadir," katanya ketika ditemui RakyatNews di sini semalam.
 
alt
 
Beliau yang juga Setiausaha LPPM dengan kesal melahirkan rasa kekecewaan kerana berpendapat sijil halal seharusnya dititikberatkan oleh pihak JAIS dalam usaha menimbulkan kesedaran kepada para peniaga.
 
"Saya rasa terkilan, kerana kita cuba hendak libatkan mereka namun mereka tidak dapat memberi komitmen. Ini perkara positif dan ada kesedaran para peniaga mengenai sijil halal tetapi jika JAIS tidak memberi komitmen, mereka akan menjadi 'sejuk'," katanya.
 
Beliau berharap permohonan sijil halal dapat diberi secara berkelompok sekiranya permohonan bagi setiap unit kedai menimbulkan permasalahan kepada pihak JAIS sekaligus mempermudahkan ramai pihak.
 
"Tentang permohonan sijil halal ini, saya berpendapat jika kita memohon untuk setiap unit mungkin menghadapi masalah kerana peniaga-peniaga disini kebanyakan daripada peniaga Melayu yang baru memulakan perniagaan. 
 
" Jadi kita minta perkara ini dimohon secara kelompok, diberi kepada kita sebagai pengurusan misalnya dan kita yang memastikan kesemua peniaga menjalankan perniagaan secara halal serta tatasusila Islam," ujar beliau.
 
alt
 
Sementara menurut Presiden LPPM Abdul Aziz Ismail, pihak berkuasa perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan melaksanakan dasar-dasar kerajaan serta penguatkuasaan undang-undang.
 
"Pihak berwajib hanya memberi alasan, sebagaimana yang diwartakan di Parlimen, maka perlu ada tindakan, pemantauan, penguatkuasaan undang-undang. Halal haram adalah hak Islam, orang Melayu nak berniaga, di lambat-lambatkan. Kerajaan sudah membuat perkara yang betul (dasar) namun tidak di pihak pegawai bawahan (perlaksanaan)," tegas beliau.
 
Dalam masa sama tambah Aziz, jika badan berkuasa itu tidak mampu melaksanakan tanggungjawab mereka, serahkannya kepada badan bukan kerajaan (NGO) mahupun kariah masjid.
 
"Jika (JAIS) tidak mampu untuk memantau, badan NGO dan jawatankuasa masjid pasti bersedia membantu," ujar beliau.
 
Bazaar dan Medan Selera Prima Walk yang terletak di Taman Puchong Prima ini dibina menerusi MK Wawasan Resources Sdn Bhd dan mula beroperasi pada 16 Julai lalu. Terdapat 100 unit gerai bazaar untuk peniaga barangan manakala 22 unit gerai untuk pengusaha di medan selera dengan kos sewa bermula RM500 hingga RM1500 mengikut keluasan tapak. 
 
Ia didirikan khas buat peniaga Melayu terutama kepada peniaga yang baru menceburi bidang perniagaan namun, peniaga bukan Melayu juga dibenarkan untuk menjalankan perniagaan di kawasan itu.

Tiada ulasan: