ULASAN Apa yang menarik bagi saya menjelang muktamar PAS kali ini ialah budaya wacana yang kian hari semakin mendapat tempat. Jika ditelusuri siri-siri pemilihan PAS yang lalu, pentas-pentas wacana agak kurang mendapat perhatian. Namun kini tidak lagi.
PEMILIHAN PAS 2 TAHUN YANG LALU
24 Mei 2011 di Auditorium Dewan Himpunan Cina KL/Selangor masih segar dalam ingatan. Menjelang muktamar pemilihan PAS dua tahun yang lalu itu, saya telah menganjurkan wacana terbuka bertajuk 'Pemilihan PAS: Mampukah PAS Membuat Lonjakan?' menerusi NGO Free Public Forum Malaysia (FPF) yang saya bangunkan bersama beberapa rakan. Waktu itu, FPF bekerjasama dengan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) yang digerakkan oleh Saudara Wan Saiful Wan Jan dan juga ILHAM Centre - sebuah firma penyelidikan politik dan pilihan raya yang diterajui Saudara Hisommudin Bakar. Forum tersebut mengetengahkan figura yang dilabel oleh sesetengah pihak sebagai 'kumpulan reformis' atau 'Erdogan' dalam PAS.
Walaupun mereka tidak pernah mengia atau menidakkan gelaran yang diberikan tersebut, ia seolah-olah rahsia umum apatah lagi fasa tersebut menyaksikan api pertembungan yang jelas antara kelompok yang dikatakan pro kepada idea 'Unity Government' VS 'pro-Pakatan Rakyat' dalam PAS. Diwarnai dengan seribu satu polemik, pertembungan antara dua kelompok ini menjadi perbincangan hebat di kalangan mereka yang mengambil berat terhadap perkembangan PAS dalam arena politik tanah air.
Usai forum, ia telah menjadi bahan bualan ramai. Apatah lagi apabila isi kandungan forum dipetik lantas dimuat naikkan dalam ruangan media baru. Kesannya, ada dikalangan ahli PAS khususnya memberikan respon yang pelbagai; baik positif mahupun negatif.
Seperti dijangka, kesan dari penganjuran forum tersebut telah menyebabkan saya dilihat sebagai 'budak nakal' yang sengaja ingin membuat kacau menjelang pemilihan PAS. Tidak kurang juga yang manjadi ahli tafsir kononnya forum tersebut bertujuan mempromosikan idea-idea baru yang tidak selari dengan jalur fikrah yang tulen dalam PAS.
MEDAN MEMPROMOSI IDEA
Namun bagi saya, noktah penting dalam forum yang telah dijalankan ialah, idea yang ingin disampaikan oleh ahli panel dapat disalurkan ke pengetahuan rakyat (termasuk perwakilan) secara sihat. Dan yang lebih penting juga, pendekatan atau medium 'bisik-bisik' dan 'cakap belakang' yang hanya akan mengundang pelbagai sangkaan buruk dan salah tafsiran dapat dihindarkan.
Di sinilah wacana umum sebagai medium baru (dalam budaya berpolitik PAS) perlu mengambil tempat. Menerusi wacana umum, gagasan idea yang ingin dibawa oleh pelapis kepimpinan masa hadapan PAS dapat dibentangkan secara langsung, teratur dan jelas dari calon-calon yang bertanding.
Wacana umum tidak perlu menjadi 'hantu' dalam PAS untuk ditakuti kerana idealnya, seseorang yang ingin bergelar pemimpin wajar tampil ke hadapan dengan misi dan visi yang jelas untuk memacu organisasi yang bakal dikemudi. Dari sinilah, para perwakilan dan rakyat umumnya dapat melihat dengan terang lagi bersuluh halatuju organisasi yang ingin dibawa jika calon-calon pimpinan tersebut terpilih.
Apatah lagi PAS, sebuah gerakan Islam dan gerakan massa yang telah lama berpencak di lapangan politik tanah air. Maka, wacana umum sebegini wajar disuburkan.
Alhamdulillah, pada musim pemilihan PAS kali ini, kita dapat menyaksikan betapa pentas wacana umum kian subur bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Buka sahaja laman sosial anda, iklan-iklan wacana melibatkan PAS kedapatan di sana sini sama ada dianjurkan oleh rangkaian organisasi parti sendiri mahupun NGO. Bagi saya, ini merupakan satu perkembangan yang amat sihat.
PAS DALAM KEPELBAGAIAN MALAYSIA
Sepertimana yang saya amati-dan saya yakin kebanyakan rakyat Malaysia juga begitu, PAS pada tahap ini sudah berada dalam hati dan minda rakyat Malaysia. Kita bukan berbicara dalam ruangan eksklusif kepartian semata-mata. Jatuh bangun PAS kini bukan lagi menjadi perbincangan ahli partinya sahaja atau seteru tradisinya Umno/BN. Seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa, bahasa, budaya, fahaman dan agama telah rancak berbicara dan peka terhadap survival PAS ke hadapan.
Nah, PAS tidak boleh lagi sekadar memberi alasan "ini parti kami, parti Islam... Pandangan orang luar tidak penting!". Kerana pada hemat saya, kejayaan PAS dalam menyantuni kepelbagaian rakyat Malaysia - dengan merealisasikan Islam sebagai 'rahmatan lil alamin' yang mampu mengemukakan solusi paling damai terhadap permasalahan dihadapi rakyat yang penuh rencam - adalah suatu cabaran, amanah dan tanggungjawab besar buat parti Islam ini.
PAS perlu buktikan bahawa Islam bukanlah agama yg bersifat ke'aku'an semata-mata, tetapi naungannya mestilah mampu memberikan teduhan kepada seluruh umat manusia.
Orang PAS tidak perlu apologetic, ini tugas mulia!
KEPIMPINAN PAS DAN GAGASAN IDEA
Akhirnya, saya berharap agar wacana umum dalam PAS bagi tujuan mengetengahkan gagasan idea bakal pemimpin mahupun pemimpin sedia ada, perlulah dirancakkan lagi dan dibawa ketengah-tengah masyarakat.
Jika dua tahun lalu wacana sebegini agak kurang disenangi, sekurang-kurangnya pada musim menjelang pemilihan PAS kali ini, wacana-wacana umum telah mula mendapat tempat. Saya amat yakin ia merupakan praktis yang sangat baik buat PAS pada pusingan ini, dan bakal diterima sebagai medium yang kukuh, normal dan diterima oleh parti pada tahun-tahun mendatang.
Pada waktu itu nanti, tiada pilihan lagi buat bakal-bakal calon kepimpinan PAS melainkan perlu bersedia untuk tampil di hadapan ahli dan rakyat Malaysia umumnya dengan gagasan-gagasan idea yang matang dan meyakinkan sebelum menyerahkan borang penerimaan pencalonan ke jawatan-jawatan yang dipertandingkan.
SHEIKH OMAR ALI merupakan Exco Pemuda PAS Negeri Johor dan Pengarah Projek Free Public Forum M'sia (FPF)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan