HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 November 2013

Wan Junaidi: MyKad palsu mungkin dari dokumen dicuri

 

 

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata MyKad palsu yang diperolehi oleh kumpulan pendatang asing dengan mudah mungkin berpunca dari dokumen yang hilang atau dicuri.

Wan Junaidi yang menjawab satu soalan di Dewan Rakyat berkata, kira-kira 400,000 MyKad dilapor hilang pada tahun 2010, dan ia meningkat kepada lebih 565,000 kad sehingga Oktober tahun ini sahaja.

"Kementerian tak menolak yang kad-kad milikan orang lain digunakan warga asing yang diselewengkan daripada MyKad yang hilang kerana kecuaian.

"Kad yang dicuri mungkin dijual kepada sindiket oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya sewaktu menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan).

Menurutnya, kerajaan sudah bersedia untuk bertindak secara "drastik" bagi mengekang perkara itu.

Bagaimana pun, beliau tidak menjelaskan langkah terperinci yang akan diambil kerana ia masih lagi tertakluk kepada kelulusan peguam negara.

"Cadangan akan dimuktamadkan segera selepas mendapat pandangan perundangan dari Jabatan Peguam Negara," katanya.

Tiada ulasan: