Penganut Kristian tidak berniat menyerang mana-mana kaum dan agama di Malaysia sebaliknya ingin terus menyuburkan keamanan dan kasih sayang setelah Kristian bertapak di Malaysia sejak 200 tahun lalu. Gambar fail.
Penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian dalam Bible versi bahasa Melayu, Al-Kitab adalah berdasarkan sejarah yang tidak menemukan terjemahan “God” pada awal era kedatangan agama itu ke negara ini, kata Ikatan Sidang Injil Kebangsaan (NECF).
Setiausaha Agung NECF, Eugene Yapp berkata apabila Kristian tersebar ke Timur Tengah pada abad ke-2, warga Arab menterjemahkan “God” kepada kalimah “Allah” dan ia menjadi rujukan kepada istilah itu di Semenanjung Tanah Melayu.
“Bagi memahami mengapa gereja di Malaysia menggunakan kalimah Allah dan bahasa Melayu adalah kerana Bible asli bukan dalam bahasa Inggeris, ia adalah terjemahan. Bahasa asal adalah dalam bahasa Yunani dan Ibrani.
"Apabila Islam tersebar ke Semenanjung Tanah Melayu di Melaka dan zaman penjajahan Portugis, terdapat masalah penterjemahan. Warga Arab menterjemahkan ‘God’ kepada kalimah Allah," katanya dalam satu forum anjuran Pemuda PAS semalam.
Awal bulan ini, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) dan merampas lebih 300 Al-Kitab dan BUP Kudus (Bible Iban), manakala Presiden PBM dan pengurus pejabat ditahan untuk disoal siasat.
Kejadian berlaku sewaktu pekerja sedang membawa masuk barangan dan pejabat mereka didatangi 20 pegawai Jais bersama dua anggota polis kira-kira jam 2 petang.
Pegawai PBM dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 4 petang hari yang sama namun katanya tidak diberitahu sebarang pertuduhan yang akan dikemukakan kepadanya.
Yapp berkata, penganut Kristian tidak berniat menyerang mana-mana kaum dan agama di Malaysia sebaliknya ingin terus menyuburkan keamanan dan kasih sayang setelah Kristian bertapak di Malaysia sejak 200 tahun lalu.
Katanya, penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian bukanlah untuk mencabar mana-mana pihak tetapi atas dasar sejarah agama Kristian yang telah diamalkan sejak zaman-berzaman.
“Kami tidak mengambil hak sesiapa dan menyerang sesiapa. Kami menggunakan kalimah Allah bukan untuk mencabar mana-mana pihak sebaliknya terdapat hubungan sejarah di sebaliknya.
Penganut Kristian Bumiputera seperti Kadazan dan Iban menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan di gereja sejak lebih 100 tahun lalu," katanya.
Beliau berkata, pemimpin Kristian di Sabah dan Sarawak merasakan seolah-olah kehilangan sebelah tangan apabila Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah bukan perkara asas dan tidak berkepentingan kepada agama Kristian.
Katanya, kalimah Allah yang digunakan oleh penganut Kristian berdasarkan peruntukan Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.
"Ketika saya bertanya berhubung larangan penggunaan kalimah Allah, mereka berkata ia seperti tangan sebelah telah dipotong. Itulah yang dirasakan oleh penganut Kristian Bumiputera yang telah menggunakan kalimah itu dari generasi ke generasi dan kemudian ia ditarik daripada mereka.
“Kami menggunakan kalimah itu berdasarkan hak kami sebagai mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Apabila Kristian menggunakan kalimah Allah di gereja, mereka menggunakan hak mereka seperti mana yang tertakluk dalam Artikel 3 dan Artikel 11 iaitu hak mengamalkan dan menguruskan agama seperti yang telah dilakukan sejak bertahun-tahun dahulu," katanya.
Pada Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan membenarkan permohonan semakan kehakiman Gereja Katolik dan menarik balik larangan Kementerian Dalam Negeri yang melarang penggunaan perkataan Allah dalam Herald.
Hakim Lau berkata, gereja mempunyai hak dari segi Perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam majalah mingguannya atas alasan agama bukan Islam boleh diamalkan dengan aman dan harmoni.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober 2013 telah membenarkan rayuan Putrajaya untuk menghalang penggunakan perkataan Allah dalam Herald.
Tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali memutuskan larangan itu untuk menjaga kesucian Islam dan mengelakkan sebarang keraguan di kalangan orang Islam.
Beliau berkata, jika perkataan itu dibenarkan digunakan oleh orang Kristian, ia boleh menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Mahkamah Rayuan juga berpendapat, larangan itu munasabah kerana kalimah Allah bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan orang Kristian.
Yapp berkata serbuan Jais bukan kali pertama dilakukan kepada penganut Kristian kerana juga pernah melakukan serbuan di gereja.
“Rampasan Bible bukan kali pertama. Beberapa tahun dahulu, mereka datang ke gereja mengatakan kami melakukan perkara yang salah. Apa yang penganut Kristian rasa dan mahu bertindak tentang rampasan Bible ini?
"Penganut Kristian di Malaysia marah walaupun kami menggesa mereka bertenang dan ia harus ditujukan kepada saluran dan rundingan yang betul," katanya yang turut menggesa Jais agar lebih sensitif, bertimbang rasa dan menghormati hak penganut Kristian berdasarkan Perlembagaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan