HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Januari 2014

Gerakan Anwar kejutkan PKR, Pakatan


Edmund Bon: Kajang voters should punish #PKR by voting any candidate but PKR's.

FATHI ARIS OMAR
 
 
Wan Saiful Wan Jan: Stupid excuse "@KEADILAN: Kenyataan media CC Lee, mantan ADUN Kajang yang telah letak jawatan petang tadi (semalam).

Pengumuman pengunduran wakil rakyat Kajang semalam menggemparkan banyak pihak, termasuk pemimpin kanan dalam PKR, dan menjadikan mereka semua sangat serba salah.

Gerakan yang mendadak ini dipercayai datang daripada beberapa pihak yang dekat dengan Ketua Umum Anwar Ibrahim sendiri, bukan kumpulan Timbalan Presiden Azmin Ali.

Kumpulan Azmin sendiri, yang digambarkan sangat ghairah ingin mengambil tampuk kekuasaan di Selangor, dikhabarkan terperanjat dengan gerakan mengejut semalam.

Tindakan ini bertujuan "menyelesaikan" persaingan antara PKR Selangor, yang diketuai Azmin, dengan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim.

Walaupun PKR negeri masih utuh di belakang Azmin, mereka tidak sempat berbuat apa-apa untuk mengelak pengumuman pengunduran CC Lee, bekas pemimpin Gerakan yang dikaitkan dengan Azmin.

Difahamkan, keputusan itu belum mendapat persetujuan PKR Selangor yang masih berusaha untuk menentukan perjalanan parti dalam krisis terbaru ini.

PKR negeri dikatakan mengambil strategi berbeza untuk menangani kemelut ini -- strategi akibat tidak menduga langkah mendadak pasukan Anwar.

DAP, PAS tunggu & lihat

Gerakan mengejut pasukan Anwar, disertai beberapa pemimpin kanan dan muda PKR termasuk Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail, dapat dijayakan susulan pertemuan ketua pembangkang itu dengan Khalid pada hujung minggu dan Lee semalam.

Pasukan Anwar juga cuba memberikan gambaran kepada beberapa pemimpin PKR bahawa proses biasa parti tidak sesuai untuk gerakan ini.

Malah, lebih elok jika diuruskan oleh pasukan kecil mereka. Sama ada pasukan ini berjaya dalam misinya akan dapat dinilai mulai hari ini.

Jika pasukan Azmin terkejut dengan gerakan pantas kumpulan Anwar, rakan-rakan Pakatan Rakyat juga belum tentu bersetuju dengan percubaan PKR itu.

Yakni, percubaan untuk mengundurkan Khalid dengan menggantikan calon baru (bukan Azmin) melalui satu pilihan raya kecil DUN Kajang.

Akibat tiada sokongan awal DAP dan PAS sebelum peletakan jawatan Lee, dua parti ini tidak menyatakan sokongan segera semalam selepas pengunduran Lee.

Kedua-dua parti masih mengambil sikap "tunggu dan lihat" tindakan lanjut PKR.

Sikap ini diambil dipercayai akibat pemimpin-pemimpin kanan mereka tidak dirujuk lebih awal oleh PKR.

Mereka dikatakan tidak selesa dengan gerakan pasukan Anwar yang tidak merundingi mereka sebelum keputusan besar itu.

Persetujuan malam tadi

Sekiranya dua rakan Pakatan menyatakan sokongan pada gerakan menggemparkan Anwar ini, persetujuan ini baru dicapai malam tadi atau pagi ini.

Pasukan Anwar dikatakan giat menyusun strategi malam tadi untuk mendapatkan sokongan bulat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

(Setakat artikel ini ditulis, sikap kedua-dua parti itu terhadap projek Anwar ini masih belum jelas)

Sementara itu, pagi ini, pasukan Anwar dijadual mengadakan beberapa siri pertemuan saat akhir, termasuk dengan Khalid dan Azmin, sebelum pengumuman rasmi yang dijadualkan jam 11 pagi.

Pengumuman ini dijangka menyentuh rancangan pengunduran Khalid dalam tempoh sebulan dua ini.

Ia juga akan menjawab teka-teki siapakah calon DUN Kajang -- yang disebut-sebut mahu diangkat sebagai menteri besar baru -- sama ada Anwar sendiri atau seorang tokoh lain.

Namun, semua ini tergantung sejauh mana Khalid bersetuju dengan pelan permainan pasukan Anwar dan bagaimana pula sikap Azmin dalam rencana Anwar yang menggemparkan ini.

Setakat malam tadi, sikap tokoh nombor dua dalam PKR masih belum jelas -- sama ada bersama pasukan Anwar atau mengambil jalan lain.

Gerakan Azmin selanjutnya bergantung pada siri pertemuan pagi ini dan pengumuman penting selepasnya.

Jika Khalid degil...

Khalid sendiri belum menunjukkan sikap yang jelas, sama ada mahu mengikut sahaja arahan ketua umum atau membantah.

Sikap ini dapat dilihat jika beliau sendiri hadir di mesyuarat pagi ini dan menyuarakan isi hatinya.

Jadi, sidang media Anwar berhubung isu-isu Selangor pagi ini akan mendedahkan sedikit bagaimana pintar (atau, tidak) pasukan Anwar.

Pasukan Anwar ini, nanti, akan menentukan kepintaran mereka sama ada berjaya mengatasi kemelut di Selangor atau menambahkan lagi kerumitan sedia ada.

Langkah bijak atau langkah dungu akan terlihat mulai hari ini, menjelang pilihan raya kecil DUN Kajang dan juga dukungan istana.

Proses panjang ini, seperti diingatkan Khalid semalam, tidak mudah tanpa konsensus Pakatan dan restu istana.

Tugas ini tentunya lebih rumit daripada meyakinkan peguam Edmund Bon dan Wan Saiful Wan Jan, ketua kumpulan pemikir IDEAS.

Malah, apabila diketahui Anwar akan mengadakan sidang media berhubung isu-isu Selangor, Wan Saiful dengan sinis mengtuit: I thought Azmin heads PKR Selangor?

Jika Pakatan dan istana di belakang pasukan Anwar, apa akan jadi jika Khalid berdegil?


FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai seorang editor kanan di Malaysiakini.

Tiada ulasan: