KUALA LUMPUR: Pendirian Tan Sri Khalid Abu
Bakar yang menyokong pelaksanaan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri
menunjukkan beliau tidak layak untuk menjadi Ketua Polis Negara (KPN).
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, ia
ekoran kenyataan seperti itu tidak wajar keluar dari seorang ketua polis
sebuah negara demokrasi.
“Kenyataan Khalid itu jelas tidak wajar bagi seorang ketua
polis di negara demokrasi, yang berbangga dengan prinsip kedaulatan
undang-undang.
“Ketika negara seperti Myanmar bebaskan semua tahanan
politik dan menjanjikan perubahan demokratik, Malaysia dimalukan dengan
ketua polis yang hanya ingin hidupkan kembali ciri-ciri negara polis,”
katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, laporan media menyatakan Khalid menyokong cadangan
bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad agar akta zalim yang
dimansuhkan pada 2012 itu dikembalikan.
Beliau menyokong pengembalian ISA, kononnya dengan alasan
‘tiada yang salah dengan akta itu’ dan ‘dapat membantunya menjaga
keselamatan negara dan awam’.
Menyifatkan ia hanya sesuai di negara kuku besi, Pua
berkata lagi, Khalid perlu ‘diajar’ konsep demokrasi dan hak asasi agar
memahami semangat Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi rakyat.
“Kami cadangkan Khalid dihantar ke sekolah demokrasi dan
hak asasi manusia. Belia mesti diajar tentang konsep ‘kedaulatan
undang-undang, bukannya ‘kekuasaan undang-undang’,” katanya sinis.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu
menggesa KPN agar lebih menumpukan usaha memperbaiki kecekapan Polis
Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyelesaikan kes jenayah, bukan berharap
kepada ISA untuk menahan tanpa bicara.
“KPN perlu terima nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak bahawa ‘polis perlu berlatih mencari bukti’, bukan sekadar
menangkap suspek dan menahan mereka dan ‘membekalkan bukti untuk
mendakwa mereka di mahkamah’.
“Wajar untuk rakyat Malaysia untuk bertanya, jika polis
tidak mampu untuk siasat dan dakwa penjenayah, mengapa mereka perlu
yakin polis akan kompeten untuk menghantar hanya yang bersalah ke
tahanan tanpa bicara,” katanya lagi. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan