Tarik jawatan jika gagal KPI  
Basir (dua, kanan) memakaikan pangkat kepada salah seorang anggota Rela pada Majlis Pemakaian Pangkat Platun Rela Mukim Kuala Nerus di SK Tanjung Gelam, Mengabang Telipot.


KUALA TERENGGANU – Bermula tahun ini, jawatan sebagai JKKK akan ditarik pada bila-bila masa sekiranya Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) mereka didapati tidak memuaskan.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail berkata, langkah itu bagi memastikan JKKK dapat menjadi pemudah cara antara rakyat dan kerajaan dalam memajukan serta memelihara keselamatan kawasan luar bandar.

Menurutnya, jika sebelum ini perlu menunggu tempoh ditetapkan selama dua tahun untuk melantik individu lain sebagai pengerusi JKKK sekiranya prestasi pengerusi sedia ada tidak memuaskan, bermula tahun dini dasar baru akan dilaksanakan.

“Kita menilai mereka berdasarkan prestasi yang ditunjukkan, ia juga termasuk kepekaan terhadap program yang dilaksanakan, perancangan-perancangan yang dibuat dalam memajukan dan memelihara keselamatan penduduk setempat dan seumpamanya.

“Kecaknaan mereka terhadap program yang diadakan di daerah lain juga termasuk dalam KPI mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat Platun Rela Mukim Kuala Nerus di Sekolah Kebangsaan Tanjung Gelam, Mengabang Telipot.

Katanya lagi, aduan daripada penduduk mengenai prestasi yang ditunjukkan JKKK turut akan diambil kira, bagaimanapun, bergantung terhadap aduan yang dilaporkan.

“Ada juga yang tidak puas hati secara peribadi terhadap seseorang maka dia akan mengadu perkara tidak baik, itu juga kita akan ambil kira. Sebab kita akan kenal pasti dan kaji aduan dilaporkan itu.

“Kita tidak boleh menerima sebarang aduan tanpa sebarang menyelidik terlebih dahulu atau mengambil kira pandangan ramai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar penduduk memanfaatkan anggota keselamatan termasuk Rela.

Katanya, ia bagi memastikan setiap individu memahami peranan yang dimainkan antara satu sama lain dalam memajukan bangsa dan agama di dalam kawasan masing-masing.

“Bagi saya anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) juga boleh memohon untuk memakai uniform Rela ketika menjalankan tugas pada sesuatu acara atau program yang diadakan.

“Ini secara tidak langsung akan menemukan satu titik persamaan dalam peranan dimainkan antara Rela dengan kelab atau pertubuhan lain di peringkat kawasan,” katanya.