Kenaikan
harga barang menjadi isu penyebab jika kerajaan sekarang jatuh.
Kenaikan harga barangan itu hanyalah ‘immediate cause’ sahaja tetapi isu
yang sebenarnya masih belum difahami oleh banyak pihak. Jika harga
barangan benar-benar disebabkan oleh kenaikan harga yang sebenarnya,
keadaan sekarang ini tidak mungkin berlaku.
Rakyat marah kerana dalam kita sedang berhadapan memerangi isu harga
barangan yang melambung naik ini, mereka mendengar pemimpin tidak
berubah juga. Mereka masih dengan berbelanja wang mereka (rakyat) tanpa
had dan ini hanya menunjukkan pemimpin kita hanya mahukan rakyat
berkorban sedangkan mereka tidak mahu berkorban bersama.
Jika kerajaan kita dan pimpinannya bersih kenaikan harga barangan ini
boleh menjadi faktor penyatuan di antara rakyat dan kerajaan dan
bersama-sama memikul tanggungjawab bersama. Tetapi dengan sikap dan
perangai pemimpin kita ini maka rakyat terasakan yang pemimpin utama
kita hanya mahukan mereka (rakyat) sahaja yang berkorban, sedangkan
mereka masih dengan sikap dan laku yang biasa seperti tiada apa masalah
yang sedang kita hadapi.
Pemimpin-pemimpin kita masih dengan sikap ‘lavish’ mengadakan keraian
harijadi dan keraian anak di hotel-hotel besar dan ternama sehinggakan
sekarang di antara rakyat dengan pemimpin adalah di antara mereka yang
‘beratap nipah dan beratap genting’. Pemimpin kita tidak sensitif dengan
perasaan rakyat yang memberikan mereka mandat untuk menjaga negara yang
mereka sayangi ini. Mereka tidak mempunyai tempat atau negara lain
untuk berlindung.
Mereka yang telah memunggah harta rakyat semasa berkuasa itu
sememangnya boleh memilih negara lain untuk hidup setelah tiada apa yang
tinggal di negara ini. Mereka boleh keluar negara hanya untuk melihat
matahari naik di tahun baru di dua tempat di dunia ini, sedangkan rakyat
tinggal di kampung masing-masing berperang dengan kenaikan harga
barangan keperluan yang sedang mengganas sekarang ini.
Dengan keadaan ini maka rakyat telah merasakan tersisih daripada
kerajaan dan pimpinan mereka. Rakyat merasakan yang mereka hanya
dijadikan kaldai untuk memunggah harta benda mereka sendiri untuk
dikendung dan dibawa lari oleh pimpinan yang mereka telah mandatkan
untuk menjaga negara kita ini. Lebih dari satu trillion ringgit telah
dibawa keluar secara sistematik tetapi haram itu, oleh mereka yang
berkuasa dan kroni yang berhampiran dengan mereka (pemimpin).
Saya katakan wang kita dibawa lari secara sistematik kerana kita boleh
menelah cara yang akan digunakan oleh mereka (pemimpin) ini. Ia boleh
dilakukan dengan mengadakan dan syarikat yang boleh memberikan nasihat
dari luar negara dan memberikan mereka upah yang dinamakan ‘consultancy
fees’ kepada mereka dan melalui syarikat ini boleh memberikan kembali
wang yang dibayar oleh pemimpin kerajaan itu.
Pimpinan yang rasuah dan tidak boleh dipercayai boleh menerima wang
rasuah ini bukan sahaja dari pembelian barangan kelengkapan pertahanan
dan sebagainya, ia juga boleh diterima dari mereka yang memberikan
perkhidmatan dan nasihat dari syarikat antarabangsa. Itu sebabnya kita
melihat harga dan kos yang diberikan oleh konsultan luar negara mencecah
sehingga berbillion ringgit. Bukan semua wang itu didapati oleh
syarikat konsultan itu. Sebahagian besarnya kembali ke tangan perasuah
tegar itu.
Pendeknya setiap apa yang dilakukan untuk memberikan khidmat kepada
pimpinan itu merupakan saluran yang sangat mudah untuk mendapatkan wang
rasuah itu. Malahan ini lah kaedah ‘money laundering’ yang sangat mudah
untuk dilakukan. ‘Money-laundering’ ini boleh dilakukan dengan membeli
intan berlian dari negara luar dengan harga yang tinggi.
Sesudah mendapatkan barangan itu, barangan itu boleh dibawa kembali ke
negara asalnya dan mengembalikan semula intan berlian itu dan
mendapatkan kembali wang pembayaran intan berlian itu dengan diskaun
untuk penjual yang telah memberikan kerjasama tadi. Dengan cara ini
penjual itu akan mendapatkan kembali intan berlian yang dijualnya tadi
dan dapat pula banyak diskaun diatas kerjasama pembeli yang rasuah tadi.
Semua ini telah berlaku dinegara ini dalam jumlah yang terlalu besar
untuk diterima oleh rakyat yang memahaminya.
Dalam masa yang sama rakyat yang rata-rata susah tidak dapat lari dari
himpitan kenaikan harga barangan tadi. Ia tidak dapat diselesaikan
dengan memberikan bantuan BRIM semata-mata tetapi ia wajar diselesaikan
dengan tindakan yang drastik oleh rakyat sendiri melalui saluran-saluran
yang ada secara sah dan ‘legitimate’ mengikut sistem demokrasi kita
yang kita amalkan ini.
Itu sebabnya pembangkang mendapat sokongan dari mereka yang marah-marah
ini, dan mereka bukan berpindah kepada pembangkang kerana pembangkang
itu boleh menyelesaikan masalah-masalah itu.
Tidak ada jaminan yang pembangkang boleh memberikan penyelesaiannya
kerana pimpinan yang diunjurkan oleh pembangkang untuk mengganti yang
ada pun merupakan penyumbang kepada masalah ini semasa mereka tidur
'sekelambu' dengan pimpinan hari ini suatu ketika dahulu. Budayanya
sama, gayanya serupa dan sikapnya tidak menunjukan perbezaan dengan yang
ada hari ini.
Jika kita teliti sehalus-halusnya UMNO tiada apa yang boleh mereka
harapkan lagi selain dari penolakan dari rakyat. Selagi UMNO tidak
memberikan penampilan yang utuh dengan barisan kepimpinannya selagi itu
lah UMNO tidak lagi perlu bersusah payah kerana apa yang mereka akan
alami adalah ‘predictable’. Mereka boleh terus menjahanamkan
perbendaharaan kerajaan dan bermain politik perkauman dan agama seperti
yang mereka lakukan sekarang ini.
Sesungguhnya yang membantu pembangkang untuk mara kedepan hari ini
ialah UMNO dan BN itu sendiri dan bukannya oleh sesiapa yang lain.
Kepada UMNO kita hanya hendak memberitahu, ‘sendiri buat sendiri
tanggung’.
Yang pentingnya semua isu yang kita alami kini wajib diselesaikan. Kita
tidak sabar menunggu waktu kita akan kembali harmonis di antara kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan