HALAMAN SANTAI
Sabtu, 26 April 2014
Amerika mula sayang Malaysia selepas Najib bawa liberalisme, kata bekas bos NST
Datuk A Kadir Jasin menyifatkan lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke Malaysia disebabkan falsafah liberalisme yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press itu berkata, berbeza ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, kuasa besar itu tidak mendapat kasih sayang daripada perdana menteri paling lama berkhidmat itu.
"Bagi pencinta Obama dan Amerika, mereka tentulah sangat kagum dan teruja.
"Maklumlah selama 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir Mohamad, Amerika tidak dapat mempamerkan kasih sayang kepada kita kerana Dr Mahathir sering mengkritik negara raksasa itu," kata Kadir dalam tulisan di blognya kadirjasin.blogspot.com.
Kadir berkata selepas era pemerintahan Dr Mahathir, negara mula memperkenalkan falsafah baru yang tidak lagi kritikal terhadap AS.
"Selepas era Mahathir dan selaras dengan falsafah baru para pengganti beliau seperti keterangkuman, kesederhanaan dan liberalisme, kita tidak lagi kritikal terhadap isu-isu antarabangsa, khususnya yang dipelopori dan diterajui oleh Amerika," katanya.
Kali terakhir Malaysia menerima lawatan Presiden AS adalah pada 1966, iaitu Presiden Lyndon Johnson.
Dr Mahathir sememangnya dikenali sebagai pemimpin yang lantang mengkritik AS sepanjang pemerintahannya.
Dr Mahathir juga pernah mencadangkan Malaysia dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berhenti menggunakan dolar AS dan beralih kepada Euro.
Kadir juga berkata lawatan Obama ke Malaysia tidak akan membawa sebarang impak kepada rakyat yang ketika ini berdepan dengan pelbagai masalah daripada catuan air hinggalah kenaikan harga barang.
"Bagi rakyat jelata kita, khususnya yang ditimpa pelbagai musibah (kehilangan misteri MH370, catuan bekalan air (termasuk penulis), tekanan inflasi, pengangguran dan sebagainya, lawatan Obama mungkin tidak akan membawa kegembiraan," katanya.
Malah, rakyat pula akan berdepan dengan pelbagai tapisan keselamatan yang ketat sepanjang lawatan Obama tersebut, kata Kadir.
"Sebaliknya orang yang tinggal, bekerja atau lalu-lalang berhampiran tempat kediaman dan lawatan Obama akan mengalami tapisan keselamatan yang ketat," katanya.
Obama pada ketika ini sedang dalam rangka lawatan ke rantau Asia Pasifik.
Salah satu daripada matlamat lawatan Obama ke Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Filipina adalah untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dengan rantau ini yang sedang pesat membangun.
Obama akan tiba di Malaysia sempena lawatan tiga hari bermula hari ini dan dijadualkan pulang ke Washington Selasa depan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan