KOTA BHARU: Belum pun parlimen dibentangkan Rang Undang-Undang persendirian berhubung Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, pemimpin Umno mulai bertembung sesama.
Malah ucapan Datuk Seri Jamil Khir Baharom di parlimen dengan memberi gambaran awal Umno bersedia menyokong enakmen berkenaan, dijawab pula Datuk Seri Najib Razak perundangan syariah tersebut belum sesuai lagi dilaksanakan.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, mungkinkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika membuat ucapan di parlimen hanya sekadar syok dengan ucapannya sendiri tanpa merujuk kepada Perdana Menteri terlebih dahulu.
Katanya, kalau diteliti video ucapan menteri terbabit seolah-olah dengan jelas Umno akan menyokong enakmen tersebut apabila dibawa ke parlimen.
“Namun sekarang ucapan itu seperti disanggah Perdana Menteri apabila membayangkan belum sampai masalah hudud dilaksanakan, biar pun menurutnya Umno tidak pernah menolak hudud.
“Belum apa-apa lagi sudah wujud pertentangan antara pemimpin Umno. Mungkinkah ketika berucap di parlimen menteri sekadar mengikut rentak selepas diasak anggota parlimen Pakatan Rakyat,” katanya pada ceramah di perkarangan Flat Buluh Kubu di sini malam tadi.
Ketika berucap di parlimen sebelum ini Jamil Khir membayangkan Umno akan menyokong enakmen tersebut untuk membolehkan dilaksanakan di Kelantan.
Beliau juga berkata, kelazimannya usul persendirian dibenarkan dibawa selepas selesai segala urusan berkaitan kerajaan, iaitu ketika persidangan parlimen berada di penghujung.
Katanya, usul tersebut perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan menteri sebelum dapat dibentangkan.
Husam juga berkata, pelaksanaan perundangan syariah diusahakan di Kelantan bagi mengekang gejala sosial dan jenayah yang semakin berleluasa sekarang.
“Biarlah Kelantan menjadi model pelaksanaan perundangan tersebut. Usaha itu dilakukan bukan bertujuan hendak bertembung dengan mana-mana pihak termasuk rakan—rakan dalam Pakatan Rakyat.
“Oleh itu saya meminta semua pihak lebih matang. Sekarang rakyat mahu melihat siapa yang akan menyokong atau menentang pelaksanaan perundangan Islam.
“Bukan lagi soal boleh laksana atau tidak. Isu tersebut menjadi celaru kerana media massa tidak memainkan peranan bagi menjelaskan lagi tuntutan agama tersebut bagi membolehkan rakyat memahami,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan