SHAH ALAM: Ekoran ketegangan yang terpaksa dihadapi dalam misi
pencarian Malaysia Airlines MH370, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
meluahkan kekecewaan terhadap agensi-agensi antarabangsa dan pengilang
Boeing 777-200ER apabila gagal menjelaskan misteri kehilangan pesawat
itu.
Pemangku menteri pengangkutan itu berkata dalam satu temubual dengan
stesen television China, CCTV, kritikan tidak adil dilontarkan kepada
MAS mengenai cara berkomunikasi dengan ahli keluarga penumpang dan anak
kapal.
“MAS sentiasa akan melakukan tugas terbaik dalam berinteraksi bersama keluarga.
“Namun meletakkan MAS di kandang saksi masih tidak mencukupi, kita juga
perlu sentiasa ingat apakah peranan dan tanggungjawab Rolls-Royce,
Boeing dan semua agensi pakar. Apakah pandangan mereka?” katanya dalam
temubual bersama CCTV semalam.
Petikan temuramah itu dimuat naik melalui akaun YouTube kepunyaan CCTV.
Pada 8 Mac, pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal ke
Beijing terputus hubungan dengan pengawal trafik udara sejam selepas
berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pencarian pesawat itu masuk hari ke-23.
Hishammuddin juga turut mempersoalkan tindakan syarikat penerbangan itu
menghantar kiriman pesanan ringkas (SMS) dalam bahasa Inggeris minggu
lalu menyatakan tiada penumpang yang terselamat.
“Amat senang untuk kita menyalahkan orang. Saya tidak mempertahankan
MAS. Mereka perlu menjawab mengenai SMS itu dan bagaimana mereka
berhubung dengan ahli keluarga.
“Tapi pada masa sama, saya mahu melihat agensi antarabangsa turut
tampil, kerana kita membayar jutaan ringgit membeli kapal terbang dan
kepakaran mereka. Kini teknologi tersebut dipersoalkan seluruh dunia,”
katanya.
Boeing dan Rolls-Royce – syarikat yang membekalkan enjin bagi pesawat
itu – dilihat tidak membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai kehilangan
MH370 itu biarpun difahamkan kedua-dua agensi itu bekerjasama dengan
siasatan keselamatan udara Amerika Syarikat.
Minggu lepas, Wall Street Journal melaporkan pihak Amerika Syarikat
berkata Boeing menyatakan kekesalan apabila kerajaan Malaysia mengambil
masa tiga jam untuk melaporkan kepada wakil syarikat mengenai kehilangan
pesawat itu. Tempoh tersebut jauh lebih panjang daripada biasa.
Pasukan Boeing dikatakan “agak kecewa dan tidak mempercayai proses”,
menurut seseorang yang biasa dengan pandangan syarikat itu.
Hishammuddin juga berkata Malaysia masih mencari motif jenayah yang
mungkin berkaitan dengan kehilangan pesawat seperti pengganas, rampasan
oleh anak kapal atau masalah psikologi.
Beliau berkata dalam kenyataan hari ini bahawa pasukan siasatan
antarabangsa dan Malaysia masih berpegang pada perjanjian bahawa
pergerakan MH370 konsisten dengan tindakan yang disengajakan oleh
seseorang dalam pesawat.
“Sehingga saat pesawat itu hilang dari radar tentera, pergerakan MH370
adalah konsisten dengan tindakan yang disengajakan oleh seseorang dalam
kapal terbang itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan