Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan,
kerajaan negeri tidak mempunyai kaitan dengan isu pemberhentian lebih
100 kakitangan Hotel Quality.
Beliau berpendapat, pemberhentian tersebut dibuat pastinya dilakukan
mengikut pertimbangan dan tatacara serta mengambil kira kebajikan
pekerja berkenaan sebelum ianya dilaksanakan.
"Keputusan berkenaan operasi Kumpulan Perangsang dibuat oleh ahli
lembaga pengarah dan juga pengurusannya, oleh itu kerajaan negeri tidak
akan campur tangan dengan keputusan tersebut. Walau bagaimanapun,
kerajaan negeri mengingatkan setiap syarikat yang berkaitan kerajaan
untuk mematuhi semangat urus tadbir yang baik.
"Walaupun kerajaan negeri melalui KDEB mempunyai milikan majoriti
tetapi pengurusannya adalah di bawah jagaan ahli lembaga pengarah
Kumpulan Perangsang.
"Saya pasti apa-apa keputusan oleh ahli lembaga pengarah Kumpulan
Perangsang mesti mengambil kira tentang kebajikan pekerja dan juga
mengikut tata cara Akta Perhubungan Perusahaan," katanya dalam sidang
media selepas mempengerusikan mesyuarat exco, petang tadi.
Khalid dalam pada itu berkata, buat masa ini beliau tidak mempunyai
hak untuk memberi maklum balas kerana ia adalah hak ahli lembaga
pengarah dan pengurusan Kumpulan Perangsang, selain tidak mempunyai
terperinci berkenaan perkara itu setakat ini.
Namun beliau berkata, satu perjumpaan akan dilakukan dengan ahli
lembaga pengarah Kumpulan Perangsang bagi membincangkan dan mendapatkan
maklumat lanjut.
"Saya akan memanggil melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sebab
KDEB adalah milikan sepenuhnya kerajaan negeri dan KDEB yang memiliki
Kumpulan Perangsang. (Perjumpaan) minggu hadapan," katanya.
Media hari ini melaporkan lebih 100 kakitangan sebuah hotel milik anak
syarikat kerajaan Selangor, akan hilang pekerjaan susulan keputusan
pihak pengurusan memberhentikan operasi hotel itu, berkuat kuasa 1 Jun
depan.
Berdasarkan notis pemberhentian kerja bertarikh 31 Mac lalu, Hotel
Quality Shah Alam akan ditutup selepas menghadapi tekanan untuk
beroperasi dengan kawalan kos dan gagal menjana keuntungan sejak
beberapa tahun walaupun dibantu subsidi sewa yang kurang daripada harga
pasaran.
Notis ditandatangani Pemangku Pengurus Besarnya, Amar Maarof Abdullah,
turut menyatakan cara pampasan yang akan dibayar kepada pekerja bersama
gaji terakhir pada bulan Mei.
Hotel milik Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor)
itu antara hotel terawal beroperasi di Shah Alam, iaitu sejak 26 tahun
lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan