HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Mei 2014

Kedutaan Malaysia desak isu pelajar Malaysia dianiaya diselesai segera

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia mendesak agar siasatan terhadap kes seorang pelajar Malaysia di Universiti Padjajaran (Unpad) di Jatinangor, Bandung yang disyaki diculik, dirompak dan cuba dibunuh pada 16 Mei lepas, diselesaikan segera.

Duta Besar Malaysia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (gambar) berkata siasatan itu perlu diselesaikan secepat mungkin bagi mengelak pihak tertentu membuat andaian atau spekulasi terhadap kes berkenaan.

"Kami sudah berbincang dengan pihak Unpad dan polis Indonesia untuk mendapat kepastian dan mereka memberi jaminan untuk menjalankan siasatan dari setiap sudut.

"Insiden ini tidak sepatutnya berlaku. Perlu tindakan tegas supaya ia tidak berlaku lagi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan Unpad dan wakil Interpol Indonesia, di pejabat kedutaan di Jakarta, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa yang berusia 22 tahun dan merupakan pelajar perubatan, dikatakan dipanggil seorang lelaki yang menunggu di belakangnya sejurus mengeluarkan sejumlah wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan kampusnya.

Lelaki itu kemudian menekup mulut mangsa, lalu menarik ke dalam kereta.

Mangsa ditemui kira-kira 3 pagi pada keesokannya dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam di tempat letak kereta di Lembang, kira-kira 40 kilometer dari lokasi dia diculik.

Mengulas lanjut, Zahrain berkata kes berkenaan kini disiasat oleh Polis Daerah Jawa Barat dengan bantuan Interpol Indonesia yang akan bekerjasama dengan Interpol Malaysia bagi menangani kes berkenaan, yang disifatkan mereka sebagai "berprofil tinggi".

"Pasukan penyiasat Polda Jawa Barat dijangka pergi ke Malaysia untuk mendapatkan keterangan daripada mangsa. Sebelum ini, polis sudah ambil keterangan namun tidak lengkap kerana ketika itu, mangsa masih trauma," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, polis belum dapat mengklasifikasikan kes tersebut kerana belum memperoleh laporan perubatan.

Dalam pada itu, Zahrain berkata Unpad memberi jaminan akan mempertingkatkan aspek keselamatan di universiti berkenaan agar kes itu, yang pertama kali berlaku di kampus berkenaan, tidak berulang.
Pada masa ini, terdapat 729 pelajar Malaysia menuntut di universiti tersebut.

Dalam pada itu, beliau mengarahkan Education Malaysia Indonesia agar melipatgandakan usaha mengingatkan pelajar Malaysia agar berwaspada bukan sahaja terhadap kejadian bencana alam yang sentiasa berlaku di negara itu, malah dalam soal jenayah.

"Pelajar juga perlu berhati-hati. Isu kecemasan dan keselamatan, jangan ambil mudah," kata Zahrain yang bercadang bertemu mangsa dan keluarganya di Malaysia tidak lama lagi. – Bernama

Tiada ulasan: