PAS menyifatkan tindakan anggota Pemuda Umno yang mahu membakar pejabat DAP di Kuala Lumpur dan menceroboh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hanya “lakonan murahan” untuk membangkitkan agenda perkauman.
Ketua pemudanya Suhaizan Kaiat berkata, selain “membodek pimpinan atasan”, tindakan itu dibuat atas kesedaran agenda perkauman menjadi nadi untuk Umno terus berkuasa.
“Saya pernah bertemu dengan pengundi yang berkata: Saya rela bayar tol lebih, rela barang naik asalkan Cina tidak memerintah',” kata Suhaizan.
Semalam, sekumpulan anggota Pemuda Umno mengadakan bantahan di ibu pejabat DAP di Jalan Pudu kerana tidak puas hati dengan tindakan seorang anggota DUN Pulau Pinang daripada parti itu yang menggelar pemimpin Umno celaka.
Selain ungkapan menghinanya, sebuah papan tanda besar DAP juga ditumbangkan.
Sebelum itu, dalam bantahan di DUN Pulau Pinang, sekumpulan peserta perhimpunan menceroboh DUN, memaksa usul tergempar diadakan dan ketua pembangkang negeri daripada Umno kemudiannya memohon maaf.
Dalam kenyataannya semalam, Suhaizan berkata, satu cara untuk menamatkan kejadian sebegitu adalah dengan tidak menyambutnya.
“Percayalah bahawa pemuda Umno tidak akan bertindak lebih daripada itu jika rakyat tidak menyambut lakonan mereka,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan