HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Mei 2014

Tiada anggota Amal terbabit pergaduhan


Oleh KHAIRUL ANWAR ISMAIL

SAYA mengambil tanggungjawab untuk menjawab tohmahan seperti yang tersiar meluas di laman web dan media sosial kononnya membabitkan pergaduhan antara anggota Unit Amal dengan anggota Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) pada Himpunan 1 Mei lalu.

1. Insiden Semasa Himpunan Jabatan Amal Malaysia ditugaskan untuk menjaga kelancaran himpunan dari aspek keselamatan termasuklah antara perkara pentingnya adalah memastikan peserta tidak memasuki kawasan padang yang menjadi antara syarat utama kebenaran himpunan diberikan.

Kejadian yang berlaku adalah disebabkan cubaan memasuki kawasan padang dataran oleh sekumpulan kecil ‘peserta’ dan tindakan mengganggu acara himpunan dengan membuat bising juga oleh kumpulan yang sama.

Tindakan memukul mereka tidak berlaku sama sekali tetapi kami hanya berusaha menyuraikan mereka dan kami juga cuba menenangkan sekumpulan peserta lain yang mula membalas kata-kata makian mereka kepada kami sehingga berlaku sedikit ketegangan.

Gambar yang menunjukkan ada antara mereka luka di dahi mungkin disebabkan pergelutan semasa kejadian tolak menolak tersebut.

Cuma saya katakan, ramai peserta yang datang untuk berhimpun dengan baik, mereka datang dan pulang dalam ke adaan yang harmoni pada hari tersebut.

Kenapa ada seorang yang luka? Apa yang dia telah buat?

2. Insiden malam selepas himpunan Jabatan Amal dengan ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa kami terlibat dalam insiden berkenaan.

Tiada anggota Amal yang bernama Anuar dari Kawasan Pandan seperti didakwa.

Tiada kad keahlian dikeluarkan oleh kami semenjak lapan tahun lalu dan yang dikeluarkan dahulu pun sangat terhad dan kami kenal mereka yang mempunyai kad keahlian.

Suatu yang tidak logik kononnya mereka yang terlibat menyerang pada malam tersebut dengan hanya menunjukkan kad keahlian Amal, dan pihak polis boleh dihalau.

Kami mendesak pihak yang menuduh menyerahkan bukti kepada kami dan pihak berkuasa kerana kami tidak sesekali akan bersekongkol dengan perbuatan sebegini.

Untuk makluman semua, kami dari Jabatan Amal Malaysia atau lebih dikenali sebagai Unit Amal tidak pernah dilatih atau melatih anggota untuk melakukan tindakan seperti dituduh.

Bahkan ketika kami bertugas kami pernah dipukul, diludah, dicaci maki tetapi kami mengambil pengajaran dari akhlak Rasulullah s.a.w. dalam menghadapi perbuatan sebegini.

Apa sahaja kerja buat kami dan apa yang kami hadapi, kami hanya mengharap kan pembalasan dari Allah. Redanya yang kami buru, kami yakin dengan janji Nya.

>> Penulis adalah Pengarah Jabatan Amal Malaysia (Selangor)

Tiada ulasan: