HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 Julai 2015

Cerita sebenar pergaduhan di Plaza Low Yat

 
Pergaduhan dapat dielak jika anggota polis tidak melepaskan salah seorang suspek kes curi telefon di plaza berkenaan.


igp-low-yat


KUALA LUMPUR: Tan Sri Khalid Abu Bakar menyalahkan salah seorang anggota polis yang melepaskan suspek curi di Plaza Low Yat sehingga menyebabkan berlakunya pergaduhan.

Ketua Polis Negara berkata, anggota polis itu melepaskan suspek tanpa merujuk kepada pegawai atasan.
“Sebenarnya dua budak yang terlibat kes kecurian di Low Yat ini telah ditangkap oleh polis.

“Namun salah seorang daripada suspek curi itu dilepaskan dan dia telah mereka-reka cerita yang tidak betul yang mengatakan dia ditipu.

“Itu tak benar, cerita itu diada-adakan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Plaza Low Yat.

Khalid turut mendedahkan punca sebenar pergaduhan tiada kaitan dengan penipuan antara peniaga dan pelanggan seperti yang dihebohkan.

“Saya ulangi kepada yang tidak faham, dalam kes ini sebenarnya tidak ada melibatkan penipuan oleh peniaga.

“Ini cerita diada-adakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan dalam kes ini tidak ada penipuan,” katanya lagi.

Tambahnya, punca kejadian sebenar adalah dua orang remaja telah mencuri telefon bimbit di salah sebuah kedai.

“Namun penjual di kedai tersebut menyedari suspek yang mencuri itu dan meminta bantuan peniaga lain untuk menangkap pencuri tersebut.

“Salah seorang yang membantu menangkap pencuri itu ialah pekerja di kedai Oppo itu. Selepas ditangkap pencuri diserahkan kepada pengawal keselamatan dan polis,” jelasnya.

Justeru, beliau menyeru supaya jangan mempercayai cerita yang tidak betul terutama yang tersebar di media sosial.

“Kes ini langsung tidak ada isu perkauman,” tegasnya.

Tiada ulasan: