HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Julai 2015

Proton masih kereta nasional: Dr Mahathir

Dr Mahathir
Dr Mahathir


SHAH ALAM - Proton Holdings Berhad (Proton) masih menganggap kereta keluaran syarikat automotif itu sebagai kereta nasional meskipun tidak lagi diiktiraf oleh kerajaan.

Demikian luahan hati pengerusi dan pengasasnya, Tun Dr Mahathir Mohamad sambil mengatakan polisi kerajaan kini sudah berubah dan tidak seperti mula-mula syarikat itu diasaskan.

“Itu kerajaan, bukan kita (Proton), kita masih anggap Proton kereta nasional, tapi kerajaan berpendapat ia bukan kereta nasional, itu polisi kerajaan, kita tak boleh kata apa.

“Kita anggap diri kita kereta nasional, tapi kerajaan tak anggap (lagi), dia kira sama saja, sama ada nasional ataupun import, sama saja,” katanya dalam wawancara khas sempena ulang tahun ke-30 Proton di sini, semalam.

Dasar Automotif Nasional (NAP) telah diperkenalkan pada 22 Mac 2006 untuk membantu usaha transformasi dan integrasi industri automotif tempatan secara optimum ke dalam jaringan industri serantau dan global yang semakin liberal dan kompetitif.

Kemudian NAP 2014 diperkenalkan bagi mengkaji semula usaha meningkat pelaburan dalam aktiviti pengilangan bernilai tambah tinggi yang menggunakan teknologi tinggi dan terkini.

Malaysia harus menarik syarikat-syarikat pengeluar kenderaan utama dunia (OEM) untuk memindahkan operasi mereka ke Malaysia, terutamanya segmen kenderaan hibrid yang masih baru dan boleh dikembangkan di dalam negara mahupun rantau ini.

Dasar itu juga perlu memastikan kereta nasional itu mampu terus bersaing dengan pengilang kereta asing yang kini lebih berminat melabur dan memindahkan perusahaan pemasangan kereta ke negara jiran, seperti Thailand dan Indonesia.

Ditanya jika Dr Mahathir terus diberikan kepercayaan menerajui Proton, beliau secara spontan berkata akan terus kekal selagi khidmat dan ideanya diterima dan diperlukan.

“Selagi saya masih boleh berjalan, bercakap, boleh bagi idea, saya jadi la (Pengerusi), melainkan kalau pemiliknya buang saya, itu saya tak tahu lah.

“Sekarang ini saya sendiri turun tengok kereta, buat apa nak buat, semua saya buat sendiri, jadi saya uji sendiri selepas produk dihasilkan. Setiap satu perubahan yang mereka buat, saya uji,” katanya.


Tiada ulasan: