HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Julai 2015

Tiba-Tiba Serah Pada Pam Buat Pengumuman, Bagaimana Jika Harganya Turun Nanti?

shahbudindotcom




Mulai malam tadi ramai yang bersungut dengan kenaikan harga minyak yang diputuskan oleh kerajaan. Kenaikan 10 sen bagi petrol Ron 95 dan 20 sen bagi Ron 97 menjelang sambutan Aidilfitri kira-kira dua minggu lagi menunjukkan kerajaan seolah-olah tidak memperdulikan langsung denyut nadi rakyat.

Kenaikan ini bukan saja akan menyebabkan semua pembelian untuk sambutan Hari Raya nanti akan meningkat harganya, bahkan harga makanan, kuih muih dan juadah berbuka puasa di bazar-bazar juga pasti akan mengalami kenaikan harga bermula seawal petang ini lagi.

Kalau pun ada yang menjual dengan harga yang sama, tentulah juga saiz, berat atau rasanya akan berbeza berbanding sebelumnya.

Ini adalah perkara normal bagi peniaga. Apabila mereka membeli bahan mentah dengan harga yang lebih mahal, maka terpaksalah pula menjualnya dengan harga lebih mahal atau dikurangkan saiz, berat dan rasanya.

Persoalannya, tidak bolehkah kerajaan menangguhkan kenaikan itu demi memberi keselesaan kepada rakyat menyambut Aidilfitri?

Belum hilang rasa terbeban dengan cukai GST, kenaikan harga minyak ini umpama beban baru bagi rakyat. Ada juga yang bingung dengan kenaikan ini sedangkan harga minyak mentah dunia sedang mengalami penurunan ketika ini.

Apakah kerajaan benar-benar tiada wang sehingga terpaksa meletakkan beban silih berganti ini kepada rakyat? Atau ini barangkali makna sebenar slogan rakyat didahulukan?

Ada juga berkata, jika ada pilihanraya kecil sudah tentu kenaikan ini tidak akan berlaku dan pelbagai retorik akan didengar untuk mengekalkan harga minyak itu.

Kenaikan harga minyak kali ini juga berbeza berbanding sebelumnya kerana tiada lagi pengumuman awal sebagaimana yang biasa dilakukan kerajaan sebelum ini

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan Malek berkata, kerajaan membuat keputusan untuk tidak lagi membuat pengumuman awal berkenaan kenaikan petrol dan diesel pada setiap hujung bulan seperti kebiasaannya.

Sebaliknya, kata beliau, pengguna hanya akan mengetahui harga baharu itu apabila mengisi minyak  di pam selepas tengah malam.

Kononnya pengumuman awal yang dilakukan sebelum ini telah mengganggu kelancaran operasi stesen minyak serta menyebabkan panik di kalangan rakyat di mana lebih ramai akan berpusu-pusu mengisi minyak jika berlaku kenaikan harganya.

Ternampak di sini bahawa kerajaan seperti cuba memperbodoh, membuli dan mengelakkan rakyat daripada  mendapat maklumat yang benar jika sesuatu itu merugikannya.

Apakah bila harga minyak naik saja tiada pengumuman awal akan dilakukan? Bagaimana jika minyak turun harga?

Adakah ketika itu bukan saja Hasan Malek sendiri akan membuat pengumuman lebih awal, bahkan Najib Razak dan Ahmad Maslan juga akan berebut-rebut lebih dulu menulis di twiter masing-masing demi mendapat laba politik daripadanya?

Secara umumnya, oleh kerana minyak adalah barangan terkawal, pengumuman mengenai kenaikan atau penurunan harganya perlu dipikul oleh kerajaan dan rakyat berhak tahu harga barunya dengan lebih awal.

Menyerahkan kepada pam untuk memberitahu mengenainya menunjukkan kerajaan tidak bertanggungjawab dan cuba lari daripadanya. Hanya kerajaan "cap ayam" yang bersikap sebegini.

Sebagaimana hari ini semua pemimpin kerajaan bisu dan menyerahkan kepada pam minyak untuk memberitahu rakyat mengenai kenaikan harganya, sama-sama kita tunggu apabila harganya menurun nanti, apakah mereka tetap bisu atau lebih kecoh daripada burung murai jadinya? 

Tiada ulasan: