HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 November 2015

Ada pegawai SPRM 'makan dalam'

Ada pegawai SPRM 'makan dalam'
Abdul Samat (kanan) bersama Naib Ketua Pemuda Pemuda Pas Selangor, Abdul Mu'izz Muhammad (kiri) dan moderator pada Forum Integriti dan Pencegahan Rasuah Bersama Pemimpin Politik Pas Selangor. - Foto Sinar Online oleh RAZIATUL A RAJAK
 
 
SHAH ALAM - Ada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terpaksa menjalani rawatan psikologi gara-gara mengalami tekanan selepas kes yang disiasat ditolak untuk pendakwaan.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Abdul Samat Kasah berkata, hal itu kerana pegawai penyiasat itu yakin kes yang disiasat itu mempunyai bukti kukuh namun akhirnya ia tidak dituduh di mahkamah.

"Ramai yang kata SPRM perlu ada kuasa mendakwa. Kalau tanya saya, kalau boleh pun nak. Sebab selepas kita siasat, kita rasa...pegawai penyiasat ini ada satu semangat apabila buka kes, matlamatnya adalah kes itu boleh dituduh di mahkamah.

"Sehingga ada pegawai kita yang terpaksa menjalani rawatan psikologi kerana kesnya itu dirasakan 'sudah cukup bukti tapi kenapa tidak dituduh?'.

"Dia makan dalam. Siasat tiga bulan, kadang-kadang balik rumah hanya seminggu sekali. Jadi, dia rasa macam makan dalam," katanya pada Forum Integriti dan Pencegahan Rasuah Bersama Pemimpin Politik Pas Selangor, di sini, hari ini.

Menurutnya, meskipun ramai yang menyuarakan agar kuasa mendakwa diberikan kepada SPRM bukannya Peguam Negara, namun beliau bimbang penompokan kuasa itu menimbulkan banyak isu lain.

Di mana, apabila siasatan dijalankan dan berlaku berat sebelah yang menyebabkan pendakwaan dilakukan walaupun tidak cukup bukti.

"Tetapi kalau kita beri penompokan kuasa, banyak isunya nanti. Di mana kadang-kadang kita jadi berat sebelah.

"Kita sebagai penyiasat, kadang-kadang dikaburi dengan kehendak kita...bukti tak cukup pun kita nak tuduh. Sebab itu perlu ada semak dan imbang," katanya.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan pertikaian yang berlaku antara SPRM dengan Jabatan Peguam Negara yang berlaku akan dirujuk kepada panel khas penilaian.

"Panel boleh memanggil dan meminta supaya kes ini disemak semula. Panel ini tidak boleh mengarahkan ya, kerana Jabatan Peguam Negara sahaja boleh mendakwa.

"Sejak penubuhan, lebih 30 kes berlaku pertikaian dan lebih 10 kes akhirnya kita berjaya untuk mendapatkan persetujuan Jabatan Peguam Negara untuk menuduh," katanya.


Tiada ulasan: