HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 November 2015

Azmin diminta jangan persoal tindakan polis


Tajuddin Md Isa
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa


PUTRAJAYA - Polis meminta Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali tidak menjadikan alasan peperiksaan bagi mempersoalkan tindakan polis memanggil anaknya untuk direkodkan keterangan berhubung penglibatan dalam perhimpunan Bersih.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata, anak lelaki Mohamed Azmin sebenarnya dipanggil untuk memberi keterangan sejak Julai lepas, namun gagal memberikan kerjasama.

Beliau menjelaskan polis pada awalnya hanya memaklumkan kepada pelajar berusia 15 tahun itu melalui panggilan telefon untuk hadir memberi keterangan bagi mengelak sebarang kekecohan.

"Kita buat begitu untuk mengelak kekecohan tetapi setelah lebih tiga bulan, dia tetap tidak hadir ke balai, memaksa polis mengeluarkan notis arahan menghadiri penyiasatan di bawah Seksyen 111, Kanun Acara Jenayah.

"Maknanya, polis telah memberikan begitu banyak masa, malah beliau sebenarnya boleh memilih untuk hadir memberikan keterangan lebih awal tanpa menunggu notis dikeluarkan," katanya mengulas rungutan Mohamed Azmin berhubung notis yang meminta anaknya hadir memberikan keterangan di balai polis walaupun perlu menduduki peperiksaan akhir tahun.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Azmin: ‘Anak saya berani macam saya’ ]



Tajuddin ditemui selepas menghadiri majlis serah terima tugas pengurusan bencana negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) kepada Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) WPKL di sini hari ini. - Bernama


Tiada ulasan: