HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 November 2015

DAP akan pertahan Liong Sik jika MCA enggan


Tun Dr Ling Liong Sik
Tun Dr Ling Liong Sik


SERDANG - DAP hari ini mengulang kesediaannya untuk mempertahankan bekas Presiden MCA, Tun Ling Liong Sik selepas bekas menteri itu disaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penerbitan artikel yang mendakwanya menyalahgunakan dana kerajaan.

Ketua Dapsy Kebangsaan, Teo Kok Seong berkata, pihaknya sudi berbuat demikian sekiranya tiada pemimpin dari MCA yang sedia mempertahankan bekas pemimpin mereka sendiri.

"Apabila beliau dan Tun Mahathir menyuarakaN kebimbangan berhubung skandal 1MDB dan RM2.6 bilion, Liong Sik disaman tapi tak ada seorang pun daripada MCA atau Pemuda MCA yang berani keluar untuk mempertahankan bekas presiden mereka.

"Saya rasa Setiausaha Agung (Lim Guan Eng) telah mengatakan bahawa, jika tak ada yang pertahanan Tun Ling Liong Sik, DAP bersiap sedia untuk mempertahankan beliau.

"Ini cara DAP, di mana kita menyokong segala kenyataan atau segala tindakan demi kepentingan rakyat," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Kongres Kebangsaan Dapsy 2015, di sini, hari ini.

Bulan lalu, Guan Eng dilaporkan menyatakan kesediaan untuk membela Liong Sik termasuk menyediakan khidmat guaman.

"Meskipun ideologi politik kami berbeza, saya sedia sokong beliau," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu ketika berucap pada ceramah politik 'Selamatkan Malaysia' anjuran Pakatan Harapan di Simpang Renggam.

Sementara, Kok Seong yang juga Ahli Parlimen Rasah menegaskan, anak muda hari ini mahukan pemimpin negara yang berani untuk bersuara bukannya pemimpin yang hipokrit dan mengutamakan jawatan.

Dalam ucapan sama, beliau mengingatkan kerajaan bahawa anak muda mahukan pemimpin yang mengotakan janji.

"Dalam manifesto BN yang mengangkat tema Janji Ditepati, Najib telah mengumumkan bahawa jika BN dapat terus berkuasa di Putrajaya, BN akan tangani kos sara hidup rakyat.

"Tapi selepas PRU13, mereka memperkenalkan cukai GST. Walaupun ramai rakyat bantah tapi kerajaan tetap laksanakan tanpa menghiraukan bantahan.

"Selepas PRU13 juga, rakyat menyaksikan siri kenaikan harga barang keperluan yang berpunca dari pelaksanaan dasar-dasar yang tidak mengambil kira kepentingan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Tambahnya, jika pemimpin tertinggi negara bersih dan segala urus tadbir dijalankan dengan telus, jujur dan cekap, pastinya negara ini akan terus maju meskipun tanpa GST.


Tiada ulasan: