Fakhruddin
sedang melakukan rawatan refleksologi kepada salah seorang pelanggan,
Mohd Taufik di kediamannya, di Kampung Tuan Mandak, Batu 6.
KUALA TERENGGANU - Biarpun masih meneruskan kehidupan tanpa sebelah kaki, ia bukan halangan buat Fakhruddin Zakaria, 31, atau lebih mesra disapa dengan gelaran Din untuk berjaya dalam perusahaan urutan refleksologi.
Menurutnya, dia mengusahakan refleksologi sejak lima tahun lalu setelah beberapa kali menyertai kursus dan mempelajari ilmu urutan refleksologi selama setahun untuk benar-benar arif mengenai urutan kesihatan itu.
“Sebelum ini, saya tidak terfikir untuk membuat urutan refleksologi ini, setelah menyertai kursus yang dianjurkan Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (Poruat), saya rasa ia adalah satu peluang bagi saya meluaskan bakat yang ada serta membantu mereka yang memerlukan di samping menjana pendapatan.
“Sebelum ini saya pernah menyertai kursus dianjurkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan kali kedua dengan Kolej Komuniti,” katanya.
Fakhruddin yang cukup sinonim dalam kalangan penduduk yang tinggal di Kampung Tuan Mandak, Batu 6, berkata, setakat ini, dia pernah mengurut seramai 13 pelanggan dalam sehari dan ia adalah jumlah pelanggan paling ramai mendapatkan perkhidmatan urutan itu dalam tempoh sehari.
“Biasanya secara purata saya mengurut seramai lebih kurang 10 orang dalam sehari. Ada juga masa-masa yang tiada pelanggan. Ada juga saya ke rumah pelanggan yang sukar untuk bergerak ke rumah saya,” katanya.
Menurutnya, dia hanya mengenakan bayaran sebanyak RM25 bagi urutan dalam tempoh satu jam atau lebih.
“Sekiranya perkhidmatan mengehendaki saya ke rumah pelanggan, saya mengambil bayaran seperti biasa tetapi hanya mengenakan caj bagi jarak perjalanan ke kediaman mereka,” katanya yang kini aktif dalam persatuan dan bertindak selaku Presiden Pokuat.
Fakhruddin berkata, dengan semangat yang ada, dia tidak menjadikan kekurangan yang ada pada dirinya sebagai halangan baginya untuk terus maju.
“Saya faham, dalam keadaan begini agak sukar untuk bergerak atau melakukan sebarang pekerjaan dengan mudah. Walaupun ia agak mustahil bagi OKU seperti saya, namun saya yakin ada jalan bagi tiap-tiap pekerjaan.
“Alhamdulillah, kini saya tertumpu pada perusahaan ini selain aktif dalam persatuan. Kalau dulu saya hanya menjalankan perkhidmatan refleksologi pada waktu malam, kini saya juga membuka perkhidmatan pada waktu siang,” katanya.
Pelanggan berpuas hati
Sementara itu, salah seorang pelanggannya, Mohd Taufik Mohd Noor, 29, dari Manir, berkata, dia telah tiga kali mendapatkan perkhidmatan urutan refleksologi yang diusahakan Fakhruddin dan amat berpuas hati dengan perkhidmatan itu.
“Alhamdulillah, setelah beberapa kali mencuba perkhidmatan urutan di sini, saya ada nampak perubahan pada diri seperti badan ringan dan darah berjalan lancar. Namun, saya perlu membuat urutan ini secara kerap bagi hasil yang memuaskan.
“Dalam tempoh seminggu dua, saya perlu dapatkan lagi rawatan refleksologi ini bagi pencegahan awal penyakit,” katanya yang mengalami masalah uluran.
Selain membuat refleksologi, Fakhruddin juga gemar memelihara ikan dan burung malah kediamannya di serikan dengan haiwan-haiwan peliharaan itu.
“Saya memang suka pelihara ikan dan burung, dalam rumah juga ada akuarium untuk menempatkan ikan-ikan peliharaan. Tetapi, disebabkan tidak sempat menjaganya kerana aktif dalam sukan sebelum ini menyebabkan ikan-ikan itu ada yang telah mati.
“Saya kini memutuskan untuk memelihara ikan dan burung di luar rumah sahaja,” katanya.
Terkena jangkitan kuman
Mengulas lanjut sejarah hidupnya sebelum ini, Fakhruddin berkata, dia sebenarnya telah melalui fasa perubahan kehidupan setelah aktif dalam Pokuat sejak 2004.
“Saya sebenarnya menghidapi kecederaan tulang belakang atau Spinal Cord Injury selepas terjatuh di dalam kelas ketika saya berusia 8 tahun. Selepas melepasi alam sekolah rendah ke sekolah menengah, dan melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) saya telah pun berkerusi roda.
“Selepas menamatkan pengajian dalam Art and Design di UiTM, saya buat macam-macam pekerjaan sehinggalah saya bekerja di tempat pemprosesan ayam. Ketika itu, berlaku kejadian di mana saya terkena jangkitan kuman,” katanya.
Menurutnya, pada mulanya, kedua-dua belah kakinya mulai membiru dan dia tidak sedarkan diri sehingga dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Katanya, selepas kehilangan kaki, dia sebenarnya turut kehilangan semangat menyebabkan dia pernah mengalami fasa kemurungan selama lima tahun.
“Sebenarnya, doktor memutuskan untuk melakukan pembedahan itu kerana jangkitan kuman mula merebak ke bahagian tulang menyebabkan tulang kaki kanan saya tercabut dan kaki terpaksa dipotong dari pangkal paha. Doktor memaklumkan tiada pilihan lain lagi untuk menyelamatkan nyawa saya.
“Alhamdulillah, selepas semua yang berlaku, saya kini bangkit untuk kembali meneruskan sisa-sisa hidup ini dengan melakukan pelbagai pekerjaan di samping aktif dalam persatuan bagi memberi kebajikan kepada orang kurang upaya (OKU) yang lain,” katanya.
Poruat kini mempunyai seramai lebih 500 ahli di seluruh negeri sering menganjurkan program serta kursus-kursus bagi membantu menjana ekonomi ahli.
Antara program yang dijalankan ialah menziarahi ahli-ahli yang sakit, mengadakan hari keluarga, majlis berbuka puasa, majlis hari raya dan indoor game.
“Alhamdulillah, setakat ini komitmen ahli-ahli persatuan amat menggalakkan malah dalam satu-satu acara yang dijalankan mendapat penyertaan lebih 200 ahli dan ia adalah salah satu perkembangan yang baik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan