HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 November 2015

TONY PUA BUKAN PENAKUT, TUGASNYA DALAM PAC LEBIH PENTING

shahbudindotcom


Harapan rakyat negara ini untuk menyaksikan debat antara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berkaitan kemelut syarikat sarat hutang itu akhirnya tidak kesampaian dan terkubur di tengah jalan.

Setelah kedua-dua belah pihak bersetuju untuk berdebat tanpa syarat, pihak lain pula yang banyak "songeh" dengan mengeluarkan pelbagai pandangan, kemungkinan malah ugutan untuk meletakkan jawatan sekiranya debat itu berlangsung juga.

Semuanya menjadikan kedudukan Tony Pua dalam PAC sebagai alasan serta hujahan untuk memberi tekanan kepadanya.

Salleh Said Keruak yang pada awalnya membenarkan RTM menyiarkannya secara langsung, turut "korner baring" di saat-saat akhir dengan mengatakan siaran langsung melibatkan Tony Pua hanya akan diadakan jika beliau berundur terlebih dahulu daripada PAC.

Dengan Tony Pua terpaksa memilih antara berdebat atau kekal dalam PAC, beliau akhirnya memutuskan untuk tidak berdebat, sebaliknya kekal dalam PAC kerana peranan dan pengetahuannya selama ini berkaitan syarikat bermasalah itu dikira penting untuk terus mencari kebenaran berkaitan dengannya.

Dan Salleh sekali lagi "korner baring" dengan mengatakan tiada siaran langsung akan disediakan kerana katanya, siaran langsung hanya untuk Tony Pua dengan Arul saja.

Mula-mula ada siaran langsung, kemudian bertukar dengan syarat jika Tony Pua berundur daripada PAC, akhirnya bertukar dengan tiada sama sekali siaran langsung. Jika benar debat 1MDB penting untuk pengetahuan rakyat, apa salahnya diteruskan siaran langsung itu.

Patutlah Najib Razak suka dengan menteri macam ini...

Meskipun berdebat dengan Arul Kanda dianggap penting, tetapi melakukan tugas menyoal dan menyiasat 1MDB atas kapasitinya sebagai anggota PAC, tentulah jauh lebih penting bagi Tony Pua dan Pakatan Harapan.

Berdebat hanyalah sekadar menunjukkan kepakaran berhujah dan membentangkan fakta, namun berperanan dalam PAC untuk mencari menyoal tentang 1MDB menjadikan tugas itu bukan saja direkodkan di Parlimen, malah menjadi keperluan untuk pengetahuan rakyat seluruhnya.

1MDB bukan saja menjadi kebimbangan rakyat, malah adik Najib sendiri iaitu Nazir Razak terus membangkitkan kesukaran untuk menarik pelabur selagi isu berkaitan syarikat itu tidak diselesaikan.

Dalam hal ini, Tony Pua tidak boleh dianggap seorang yang penakut untuk berdepan dengan Arul Kanda, sebaliknya kerana beliau memikirkan kemelut 1MDB lebih mustahak untuk dicari titik penyelesaiannya demi rakyat dan negara.

Sekiranya Tony memilih untuk berdebat dan terpaksa melepaskan kedudukannya dalam PAC, kemenangannya dalam debat itu juga tidak semustahak tugasnya menyoal dan menyiasat melalui jawatankuasa Parlimen itu.

Lebih merugikan jika Tony Pua memilih untuk berdebat dan Arul kemudian hanya berhujah sambil lewa sebagaimana pendedahan Muhyiddin Yassin ketika Presiden 1MDB itu hanya datang dengan "tangan kosong"  ketika memberi penjelasan kepada kabinet, maka akhirnya debat menjadi tidak bermakna dan siasatan PAC juga tidak ke mana.

Sebab itu, pilihan Tony Pua untuk berundur daripada berdebat dan kekal dalam PAC adalah pilihan yang tepat. Baginya kepentingan 1MDB kepada negara dan rakyat jauh lebih penting daripada yang lain-lainnya.

Jika benarlah  "kejantanan tidak tercabut" di pihak kerajaan, Tony Pua seharusnya dibenarkan berdebat dan dibenarkan juga terus kekal dalam PAC.

Bagaimanapun, dengan Pakatan Harapan sedang memilih pengganti Tony Pua, debat 1MDB itu tetap menarik, apatah lagi "10 soalan bocor"  sudah pun dipersiapkan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu untuk dijawab oleh Arul Kanda dengan jujur, ikhlas serta berdasarkan fakta kebenaran.

Yang penting, jika jawapan  dalam debat tidak memuaskan hati, Tony Pua masih ada ruang untuk menyoalnya melalui PAC pula.

Tiada ulasan: