KUALA LUMPUR - Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memfailkan permohonan semakan kehakiman sebentar tadi berhubung perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).
Permohonan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan Haniff Khatri oleh tiga wakil dari NGO berkenaan.
Pengerusi Angkatan Belia Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim; Presiden Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas Malaysia) Nurfitri Amir Muhamad; dan Naib Presiden Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Melayu Malaysia (Teras), Ahmad Tarmizi Sulaiman, selaku pemohon menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.
Dalam permohonan itu, mereka memohon untuk diberi kebenaran di bawah Aturan 53 Kaedah 3, Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung beberapa perkara melibatkan perjanjian TPP.
Antaranya, mereka memohon perintah mahkamah yang mewajibkan responden-responden mendedahkan dan menyerahkan teks perjanjian TPP kepada mereka.
Mereka juga memohon perintah yang mewajibkan kesemua responden mendedahkan segala dokumen berkaitan proses rundingan perjanjian TPP daripada peringkat permulaan sehingga ianya disimpulkan pada 5 Oktober lalu.
Selain itu mereka memohon perintah penggantungan mahkamah agar responden-responden tidak meneruskan proses menandatangani perjanjian TPP sehingga semakan kehakiman itu didengar dan diputuskan mahkamah.
Melalui permohonan itu, mereka mendakwa, kandungan perjanjian TPP jika ditandatangani Malaysia akan merosakkan Perlembagaan Persekutuan, menggugat kedaulatan negara, serta merendahkan sistem perundangan dan kehakiman negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan