HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 November 2015

TPPA, dia lebih dengar Amerika dari rakyat




Oleh Subky Latif 


APA yang boleh didedah tentang rangka perjanjian TPPA sudah pun didedahkan ke - pada umum untuk diteliti dan dipertikai.Yang didedah itu adalah yang boleh didedah dan tidak boleh didedah, tentunya ada, tidak didedahkan.

Kerajaan akan turun padang, dipercayai bukan untuk meneliti apaapa kelemahan yang disuara dan dibangkitkan oleh rakyat, tetapi untuk membela dan mempertahan rangka yang sudah pun diperkenannya.

Rangka itu pastinya akan dibentangkan di Parlimen awal tahun depan, juga bukan untuk mengkaji dan menelitinya, tetapi untuk menerimanya.

Sudah boleh diandaikan semua semakan yang orang ramai buat sebelum ia dibentangkan di Parlimen dan apa jua dibincangkan di Parlimen akan jadi perkara yang tidak berguna, kerana Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak lebih suka mendengar apa yang Amerika kata dari mendengar apa yang rakyat kata.

Pembangkang baik ia pun berpecah – PAS berpecah dan Pakatan Rakyat pun berpecah – ia masih sekata, TPP adalah ancaman kemerdekaan kepada negara terutama dasar perlindungan Bumiputera.

NGO rata-rata mencurigai muafakat dagang dan ekonomi rentas Pasifik itu.

Penentang gagasan itu jangan lupa adalah mewakili 52 peratus undi popular dalam Pilihan Raya Umum ke-13 dulu. Sekalipun undi popular tidak boleh dijadikan penentu bagi kerajaan bertindak, tetapi ia perlu dihormati betapa tidak setankan gambaran dan kemahuan umum demokrasi antara PRU13 dan PRU14.

Apa jua yang kerajaan sekarang buat dalam tempoh itu adalah keputusan minoriti. Bisa kerajaan BN mungkin ada semula jika dalam PRU 14 nanti ia meraih undi popular semula. Tetapi bagi penggal Parlimen ke-13 ini ia mewakili kerajaan minoriti.

Saya tidak menurunkan perincian keburukan TPP itu. Jurubicaranya sudah pun menurunkan satu demi satu keburukan melalui semua media. Saya cuma suka mengingatkan tentang pandangan pakar ekonomi UUM betapa jangan percaya sangat apa yang dijanjikan oleh Amerika yang menguasai TPP itu.

Biasanya orang-orang universiti kita, sekalipun mahukan kebebasan tetapi suasana banyak menjadikan mereka jadi jurucakap tidak rasmi kepada rejim BN. Tetapi profesor yang dihormati itu sudah menyatakan janji sedap TPP itu adalah harap ada percaya tidak.

Elok TPP yang dikatakan itu adalah seperti elok arak dan dadah.

Arak itu adalah gunanya tetapi tak gunanya lebih banyak. Justeru Islam mengharamkannya. Dadah juga ada eloknya dari sudut perubatan, tetapi ia juga pembinasaan manusia yang utama. Pandangan umum masa ini, TPP itu lebih banyak bahayanya dari manisnya.

Menjauhkannya adalah lebih baik. Biar kita rugi segenggam dari menyertainya dari risiko kebinasaan 10 genggam. Jadilah seperti sepat yang tidak makan pancing emas, lebih selamat dari jadi haruan yang menyambar umpan palsu.

Orang Melayu sudah ada pengalaman ditipu Peringgi semasa ia datang membeli tanah Melaka sebesar belulang. Raja Melaka mengira Peringgi itu gila membeli tanah sekangkang dengan harga yang mahal.

Tetapi belulang itu diproses menjadi tali menjadikan tanah yang beli itu jadi seluas tapak Kota Melaka yang jadi kubu Peringgi menyerang Melaka. Gara-garanya hingga hari ini Melaka hilang raja.

Jangan TPP mengulang sejarah gelap itu hingga risikonya boleh menyebabkan Malaysia hilang Yang di-Pertuan Agong. Ingat sejarah berulang.

Najib dan Umno jadilah perangkap yang tidak lupakan pelanduk, jangan jadi cerdik pelanduk yang mudah lupa perangkap.

Kita sudah belajar dari sikap pemimpin Perikatan (BN dulu) pimpinan Tunku dan Tun Abdul Razak Hussein ketika pendedahan Laporan Reid tentang rangka perlembagaan Tanah Melayu merdeka.

Rata-rata rakyat mengingatkan tentang ancaman rangka perlembagan yang tempang itu akan risiko terhadap orang Melayu. Perlembagaan itu akan menukar status bangsa Melayu menjadi kaum.

Pemimpin Umno ketika lebih percaya kepada penjajah British yang hendak dihalau dari bangsa Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan.

Natijahnya Najib sendiri terlepas cakap, orang Melayu hampir jadi bangsa yang bangsat.

Perlembagaan Reid dulu menjual bangsa Melayu. Rangka TPP ini bakal menjual bangsa Malaysia kepada Amerika, dan bakal menjadi bangsa Malaysia kaum Red Indian kelas dua. Red Indian Amerika kelas satu kerana mereka warga Amerika. Bangsa Malaysia bukan warga Amerika, berpuas hati jadi Red Indian kelas dua.

Mengapa Najib lebih percaya kepada Amerika dari rakyatnya? Justeru dia adalah pemimpin yang lemah dan tiada jati diri.

Amerika adalah imperialis dan kolonialis yang licik. Ia superpower. Bangsa lain ada hambanya. Semua bangsa di dunia diperas ugutnya. Jepun, Saudi, Jerman dan lain-lain diperas ugutnya.

Yang menguasai politik dan ekonomi Amerika ialah elit Yahudi yang mengikut Islam satu bangsa melaku keroskan di bumi sepanjang masa. Setiap inci dunia ini mahu dikuasainya.

Mereka tahu Najib berdepan dengan berbagai kelemahan. Hutang negara yang bertimbun, ekonomi dan pentadbiran yang tidak terkawal, rasuah, penyelewengan kekayaan dan wang negara, skandal Altantuya.

Perdana menteri terlalu manja dan berbelanja mewah, membiarkan ketirisan. Mudah digula-gula dengan duitan. Jika dia sudah diketahui sedia menerima derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya, maka banyak mana lagi derma yang pernah diterimanya.

Apakah Amerika tidak boleh peras ugut menyuap orang suka bermewah. Bukan mustahil memerangkap sesiapa yang boleh diperangkap dan ia kemudian dipaksa buat apa yang disuruh dan jika tidak dituruti, CIA boleh mengenakan ancaman kepada kuasa.

Amerika benar Hosni Mubarak dirasuah dan menyalahgunakan bantuan dari Amerika. Amerika membiarkan Mubarak dijatuhkan secara malu.

Pemimpin Vietnam Selatan, Ngo Denh Diam dan Ngo Denh Who disuap dan digulingkan. Suharto juga jadi boneka yang dirosakkan oleh Amerika.

Tidak mustahil pemimpin BN sudah masuk perangkap Amerika. Ia mesti lebih suka mendengar kemahuan Amerika dari suara, nasihat dan bantahan rakyat sendiri.

Jika mahu selamat dan terus berkuasa, ikut arahan Amerika.

Rata-rata rakyat membantah. Pandangan dan teguran di Parlimen tidak dipedulikan kerana Najib berdalih mereka tidak mewakili kerajaan dan kemahuan rakyat teramai.

Mahu tahu rakyat menolaknya, adakanlah pungutan suara. Biar rakyat membuat keputusan sebelum Parlimen membincangkannya.

Tahun 1970 saya jadi tetamu kerajaan Switzerland. Negara yang paling demokrasi di dunia. Setiap perkara besar kerajaan hendak buat, diadakan referendum.

Dalam setahun sampai enam kali pungutan suara. Siapa kata Switzerland tidak jadi negara maju?

Mahu tahu TPP disokong atau ditolak, adakan pungutan suara Januari atau Februari ini sebelum Malaysia menyatakan setuju pada TPP. Setakat ini kerajaan sudah berjanji kepada Amerika untuk menerimanya. Cuma bertangguh untuk menanda tangan setelah diputuskan oleh Parlimen.

Ada yang bertanya, Vietnam itu teruk dibom Amerika tetapi mengapa ia setuju TPP. Kita kena faham Vietnam amat cemburu dengan pengaruh China. Bagi mengelakkan ia ditelan gergasi ekonomi China, ia perlukan perlindungan Amerika.

Apakah Malaysia juga diancam oleh kebangkitan China? Mungkin Amerika kata pada Najib begitu, tetapi Malaysia lebih selamat sekadar berbaik dengan Amerika tanpa menjadi sebahagian dari wilayah tak langsung Amerika.

Tiada ulasan: