HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 November 2015

Umno Sepang nafi wujud gerakan jatuhkan Najib

Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic


SEPANG: Umno Bahagian Sepang hari ini berkata kumpulan pemimpin akar umbi yang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan itu mempunyai agenda peribadi dan tidak mewakili pendirian cawangan Umno di Sepang.

Ketuanya, Datuk Marsum Paing juga menafikan wujudnya gerakan menjatuhkan Najib yang didalangi oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bahagian itu.

Sambil melahirkan rasa kesal terhadap tindakan sebilangan “ahli cawangan” itu, beliau berkata, mereka yang terbabit akan dipanggil untuk memberi penjelasan.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di ibu pejabat Umno Bahagian Sepang di sini.

Semalam, sekumpulan pemimpin akar umbi Umno yang mendakwa mewakili 20 cawangan parti itu di Sepang, mendesak Najib supaya meletak jawatan.

Jurucakap kumpulan itu, Rushdan Mohamed berkata Najib perlu meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno kerana skandal berpanjangan yang melanda dirinya telah menjadikan beliau sebagai liabiliti.

Sambil menegaskan bahawa Umno bukan milik Najib, beliau berkata, mereka berharap isu-isu tersebut boleh diselesaikan dengan segera, sebelum Umno dan Barisan Nasional ditolak dalam pilihan raya umum ke-14.

"Kita akan panggil (Rushdan dan lain-lain) dalam masa terdekat, minggu depan," kata Marsum.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga memberitahu bahawa Umno bahagian itu telah menerima usul menyokong kepimpinan Najib pada penghujung Ogos lalu.

Daripada 131 cawangan, cuma dua menolak usul menyokong Najib.

Tiada ulasan: