KOTA BHARU: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan
memberi penjelasan kepada kira-kira 3,000 penyumbang dana Amal Jariah
(Skim Potongan Gaji) yang menarik diri daripada menyumbang kepada
yayasan berkenaan.
Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM Datuk Abibullah
Samsudin berkata pihaknya yakin perkara itu hanya bersifat sementara dan
mereka akan kembali menyumbang kepada yayasan berkenaan selepas dakwaan
mengenai penyelewengan dana dibuktikan tidak benar.
"Saya yakin pemberhentian (sumbangan dana) ini adalah pemberhentian
yang bersifat sementara sehingga mereka benar-benar yakin ini adalah
fitnah dan mereka akan (kembali) meneruskan sumbangan kepada YaPEIM.
"Kita akan hantar kenyataan akhbar dari semasa ke semasa supaya mereka
akhirnya akan memahami perkara sebenar yang sedang berlaku," katanya
kepada pemberita selepas menghadiri sesi penerangan tertutup berhubung
isu yang melanda YaPEIM anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Majlis
Profesional Kelantan di sini, malam Ahad.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Siti
Zaleha Hussien dan Anggota Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Prof Datuk
Mahamad Naser Dis.
Mengulas lanjut, Abibullah berkata YaPEIM kini mempunyai kira-kira
5,000 penyumbang dana di bawah dana Amal Jariah yang menyumbang minimum
RM1 hingga maksimum RM500 setiap bulan.
Dalam pada itu, Abibullah berkata pihaknya juga sedang menjalankan
siasatan dalaman berhubung kebocoran maklumat berhubung pengurusan
kewangannya, namun turut menyerahkan perkara berkenaan kepada polis
untuk siasatan secara menyeluruh.
Beliau turut mengakui ada pegawai yayasan berkenaan dipanggil oleh
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan,
namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan kerana ia masih
dalam siasatan.
YaPEIM menjadi perhatian sejak minggu lalu, berhubung dakwaan salah
guna dana dan lebihan pembayaran gaji kepada pengurusan atasannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan