HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Februari 2016

“Baru kemas rumah, kena pindah lagi”

 “Baru kemas rumah, kena pindah lagi”
Keadaan air pasang besar di Pulau Kundor petang semalam.


KOTA BHARU - Belum pun habis mengemas rumah, sekali lagi 85 mangsa yang tinggal berdekatan Pantai Pulau Kundor perlu berpindah secara serta-merta setelah rumah mereka dinaiki air pasang besar.

Kali ini, mangsa banjir air pasang, Yusof Taib, 80, yang mempunyai 11 anak seolah-olah trauma dengan kejadian kali kedua tersebut lebih besar berbanding 25 Januari hingga 28 Januari lalu.

“Baru tiga hari pindah dan mengemas, kali ini kami terpaksa ke pusat pemindahan banjir semula setelah rumah kami hampir dihanyut air pasang laut yang masuk melalui cermin jendela dan pintu.

“Ombak besar ini masuk ke rumah pakcik setinggi dua meter dari pantai bermula jam 4 petang dan berterusan hingga jam malam tadi,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Kundor, di sini, hari ini.

Turut mengadakan lawatan terhadap 85 mangsa dengan 17 keluarga pemindahan banjir di SK Pulau Kundor, Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa, Zarina Md Eusope.

Yusof berkata, hempasan ombak air pasang tersebut menyebabkan rumahnya berusia 40 tahun dimasuki air, malah dia yang berada di beranda rumah terpelanting dihempas ombak.

“Nasib baik pakcik sempat berpaut pada tiang dan terus masuk semula ke dalam rumah, namun air dan pasir pantai sudah masuk ke dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, Zarina berkata, kerajaan persekutuan berusaha mengambil langkah lebih drastic termasuk membina benteng bagi membantu penduduk Pulau Kundor.

“Kita gesa penduduk beri kerjasama terutama semasa arahan berpindah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, terutama mereka yang mempunyai ramai anak,” katanya.

Kejadian berkenaan disahkan Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pegawai Kanan II, Ayub Mustafa berkata, 17 keluarga itu dipindahkan sejak jam 8 malam berikutan ombak pesisir pantai membadai dan memasuki kediaman mereka.

"Ini kejadian kali kedua penduduk di Pulau Kundor terpaksa dipindahkan selepas kejadian pertama pada bulan lepas,” katanya.


Tiada ulasan: