SHAH ALAM: Seorang pemimpin PKR hari ini menasihati rakan-rakan parti
komponennya di dalam Pakatan Harapan (PH) agar tidak terlalu memikirkan
soal pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang,
sebaliknya harus menumpukan kerja-kerja untuk rakyat.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid bagaimanapun
berpendapat PKR masih kekal dengan prinsip 'satu lawan satu' sebagaimana
yang pernah dinyatakan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali baru-baru ini.
"Matlamat asal PKR begitulah (kekal prinsip satu lawan satu).
"Pilihan raya ada tempoh lebih dua tahun lagi. Pada pandangan saya,
buat kerja masing-masing dahulu. Apabila sudah sampai waktunya, kita
cari ketetapan bagaimana kita hendak lakukan.
"Pada waktu ini, bukan masanya untuk kita bercakap hal kerusi dan
sebagainya, sebaliknya kena fokus kepada rakyat," katanya ketika
dihubungi Antarapos, hari ini.
Abdullah Sani diminta mengulas kesediaan Parti Amanah Negara (PAN)
Selangor untuk meletak calonnya di semua kawasan Dewan Undangan Negeri
(DUN) dan Parlimen yang diwakili PAS.
Pengerusi PAN Selangor, Ir Izham Hashim berkata pihaknya kini sedang
mengenalpasti calon-calon yang sesuai untuk bertanding dalam pilihan
raya akan datang.
Bagaimanapun kenyataan Izham itu dilihat bercanggah dengan ketetapan
yang diambil oleh PKR sebelum ini untuk memastikan prinsip satu lawan
satu dilakukan dalam pengagihan kerusi sesama pakatan pembangkang pada
PRU-14.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini berkata
dalam mana-mana pilihan raya, perlu ada proses rundingan dan
perbincangan kerana mahu prinsip satu lawan satu dipertahankan dalam
usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan Umno.
Manakala PAS, sebagaimana yang diketahui ramai tetap akan meletakkan
calon di kawasan-kawasan yang ditandinginya sebelum ini dan tidak akan
beralah dengan PAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan