MSO
Wang dana RM2.6 billion yang tidak dinafikan Najib Razak ianya
dimasukkan ke dalam akaun peribadinya menjadi satu seloka perkara benar
yang berlaku dalam negara ini. Kenapa dikatakan seloka sebab perbicaraan
mengenainya ada kalanya penuh sinisme, lelucoh dan memelikkan.
Buat masa ini kejadian ini suatu seloka yang sama tarafnya dengan nasib
pesawat Mas MH370 yang hilang dan masih belum dijumpai sampai kini yang
juga sudah menjadi seloka.
Rakyat Malaysia teringat-ingat akan pesawat berkenaan, apa lagi daripada
kalangan anggota yang waris warahnya menjadi mangsa. Mereka
bermimpi-mimpi dan berharap pesawat malang itu akan ditemui dan semua
yang berada dalam pesawat itu pulang dengan selamat penuh dengan girang
gembira.
Mereka juga mencari-cari dan tercari-cari pesawat
itu. Ia jadi igauan dan phobia. Ia jadi mimpi dan harapan. Sebab itulah
pantang ada berita penemuan serpihan besi buruk hanyut atau bersepahan
yang berupa anggota pesawat dilaporkan, mereka akan obses dan mendoakan
semoga ianya adalah bangkai pesawat itu. Mereka mahukan kepastian. Itu
sahaja, kandati pun harapan untuk mangsa hidup sudah musnah.
Sebenarnya para penanti kepulangan penumpang dan pesawat MH370 berada
dalam keadaan "gila", sakit ataupun tidak siuman lagi. Trauma usah
dikiralah. Semuanya kerana tidak ada penamatan berhubung kehilangan
misteri itu. Kerajaan sendiri, sebagai sebuah kuasa yang berhak menentu
dan menamatkan kejadian itu hanya menyebut, pesawat itu berakhir di
lautan Hindi. Satu pengumuman yang penuh dengan ketidakpastian dan
tidak bertanggungjawab.
Dalam kata lain tidak ada kemuktamadan yang sebenar.
Nah, begitu juga dengan nasib wang derma RM2.6 billion yang membabitkan
manusia bernama Najib Razak. Wang itu menjadi satu penyakit dan bala
besar kepada orang-orang politik di negara ini termasuk Najib sendiri.
Gara-gara kedudukan wang itu misteri dan pelik, (tetapi ia benar),
menyebabkan ia menatijahkan beberapa perkara yang tidak sepatutnya
berlaku dan mendukacitakan.
Misalnya kedudukan dan nasib Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana
menteri, punah jaham kerana wang dana berkenaan. Sebabnya, bekas TPM itu
mengungkit wang itu kepada Najib, menyoal kenapa wang sebanyak itu
dimasukkan ke dalam akuan peribadi. Tujuan Muhyiddin baik untuk
memelihara integriti seorang PM, tetapi disalah anggap oleh Najib. Niat
baik itu berlaku sebaliknya.
Najib tersinggung dan mula berprasangka yang Muhyiddin cuba
menyusahkannya atau tidak mempercayainya. Kenapa? Mungkin adakah Najib
benar melakukan kesalahan? Akhirnya jalan mudah penuh berani diambil
Najib dengan pecat Muhyiddin sebagai TPM dan digantikan dengan pemujanya
Zahid Hamidi. Najib mengira pelan itu berjaya, tetapi ia memberi
implikasi dan rentetan politik panjang yang mengangguinya.
Bukan sahaja Muhyiddin terkena dengan badi wang dana RM 2.6 billion itu.
Anak jantan bongsu Dr Mahathir, Mukhriz juga menerima nasib sama.
Kedudukan Mukhriz sebagai MB Kedah terpelanting menerusi satu
pemberontakan yang direstui Najib. Sebab dan alasannya sama, Mukhriz
mempertikaikan wang berkenaan.
Walaupun kritikan terhadap Najib itu memakan dua mangsa, termasuk
kritikan wang dana itu, tetapi kesudahan wang dana itu masih belum
muktamad. Ia masih misteri sama seperti MH370 itu. Belum diketahui dari
mana dan siapa yang bermurah hati menyalurkan wang sebanyak itu kepada
Najib dan ianya untuk apa.
Maksud wang itu juga berbagai-bagai dan berbunga-bunga. Mulanya untuk
menghadapi pengganasan IS, membenteras fahami Wahbi, kemudian
dicelah-celah itu diselokai kononnya untuk perbelanjaan pilihan raya.
Kesamaran dan kesimpangsiuran itu menyebabkan orang bertanya dan
bertanya mengenai kesahihan dan kesucian wang berkenaan. Dan paling
melucukan apabila lebihan wang itu dikembalikan semula kepada si
pemberinya. Pelik.
Mulanya dikecurkan wang itu adalah derma dari kerabat di Raja Arab
Saudi. Reda sekejap. Walaupun orang sedia menerima ada raja Arab yang
gila, "gong" dan "ngor" untuk berikan Najib sebanyak itu tanpa sebarang
kontra, tetapi lama-lama kelamaan kesangsian terbit kembali. Orang waras
dan bertanya semula sejauh mana kebenarannya. Terbaharu kononnya wang
itu bukan daripada kerabat di Raja Arab tetapi daripada 1MDB? Pulak.
Sebelum ini pun orang sudah menuduh dan menyangkakan wang dana itu
adalah daripada komisyen atau rasuah daripada projek 1MDB. Tetapi Najib
dengan juak-juaknya dapat menghentikan cerita sekejap, menolak prasangka
itu. Sandiwara dicipta begitu rupa untuk menyakinkan sehingga
menggunakan jabatan negara yang berprestaj untuk menutupnya. Disamping
mengaut wang itu rakyat dilena dan dinyanyikan dengan pemberian one off BR1M dan sebagainya.
Semua ianya dimulakan oleh sebuah portal Sarawak Report yang memetik
laporan The Wall Street Jorunal's (WSJ) yang mendedahkan tembelang busuk
itu. Najib bukan main lagi bangkit dan bangun membantah laporan itu dan
menegaskan akan menyaman WSJ setelah menyekat portal Sarawak Report.
Hari yang ditetapkan Najib untuk saman WSJ ialah pada hari kelahiran
anak lembu Merah, itu Selesa. Namun sehinggakan kini sudah silih
berganti Selasa pergi dan mari, tetapi Najib masih belum menyaman WSJ.
Ketidaksanggupan Najib untuk menyamankan akhbar tertua di England itu
menjadi bahan ketawa dan ejekan. Orang melihat perdana menteri Malaysia
pengecut dan tidak mempunyai "batu" yang sama gagah. Sebagai meredakan
keadaan dan menyakinkan rakyat Malaysia dan penyerangnya, Najib dengan
kuasa yang ada kepadanya mengambil beberapa tindakan drastik dan dilihat
ganjil mengawal negara. Ini termasuk menganggu SPRM yang menjalankan
siasatan terhadap kes membabitkannya, dan kemuncaknya ialah dengan
menukar Peguam Negara.
Peguam Negara secara tektikal telah membuat beberapa keputusan
memihakkan Najib dan melindunginya. Salah satu tindakan tidak bermaruah
dan menjadi persoalan umum ialah mengistyharkan bahawa Najib tidak
melakukan apa-apa kesalahan terhadap wang dana berkenaan dan juga
berhubung sejumlah RM42 juta wang yang dikaitan dengan milik SRC
International yang didakwa disalurkan meneruskan akaun Najib.
Demikian apa yang berlaku terhadap Najib dengan wang dana sebanyak RM2.6
billion. Ianya salin tidak tumpah dengan isu kehilangan pesawat Mas
MH370. Ia melucukan, memelik dan menjadikan rakyat negara ini terus
tertanya-tanya dan tersoal-soal seperti mitos kenapa sang anjing
marahkan kucing!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan