THE RAKYAT POST
Para pekerja asing turut
tidak melepaskan kesempatan untuk beriadah bersama sahabat handai di
sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada cuti perayaan Tahun Baru
Cina hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR, Ketika warga kota mengambil kesempatan
daripada cuti panjang bersempena Tahun Baru Cina untuk balik kampung,
ibu negara hari ini dibanjiri pelancong dan pekerja asing.
Bernama melaporkan para pelancong
kelihatan sibuk merakamkan gambar dan membeli-belah di tempat-tempat
yang menjadi tarikan seperti Pasar Seni, Bukit Bintang, Dataran Merdeka
dan Jalan Petaling.
Seorang pelancong dari Australia, Elia
Murray, 27, yang sedang dalam lawatan ke negara-negara Asia bersama-sama
rakannya berkata, dia terpesona dengan seni bina bangunan-bangunan
bersejarah di negara ini.
“Sebelum ini, saya hanya melihat bangunan
Sultan Abdul Samad melalui gambar dalam Internet tetapi hari ini saya
berpeluang melihatnya dengan mata saya sendiri. Ia sungguh hebat!”,
katanya yang juga tertarik untuk menghayati keindahan bangunan Menara
Berkembar Petronas, yang menjadi mercu tanda Malaysia.
Sementara
Murray berminat terhadap seni dan seni bina, rakannya, Marria Wilson,
27, pula teruja untuk menikmati pelbagai makanan Malaysia.
“Abang saya yang mengunjungi negara ini
sebelumnya, memberitahu saya makanan Malaysia seperti nasi lemak dan
roti canai sungguh sedap sekali tetapi pada yang sama mengingatkan saya
mengenai kepedasan sambal dan kari,” katanya.
Wilson berkata, mereka akan memanfaatkan
sepenuhnya percutian selama tiga hari di Malaysia dan merancang untuk
melawat tempat menarik seperti Taman Burung Kuala Lumpur dan
Brickfields.
“Kami tidak kisah mengenai cuaca panas selagi kamui dapat menikmati setiap detik berada di sini,” katanya.
Sementara itu, kawasan seperti Jalan
Silang, Jalan Pudu, Jalan Tun H.S Lee dibanjiri pekerja asing daripada
Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Indonesia.
Seorang pekerja warga Indonesia, Jumadi
Zulkarnain, 21, berkata biasanya sukar untuk dirinya bertemu dengan
rakan-rakan senegaranya kerana komitmen kerja.
“Rakan-rakan saya semuanya kerja di
berlainan tempat … pada cuti perayaan begini kami akan berkumpul
beramai-ramai di sini,” kata Jumadi yang bekerja sebagai pembantu di
sebuah restoran.
Pekerja warga Bangladesh, Shamem Mancha, 30, turut memanfaatkan cuti umum ini untuk bertemu dengan rakan-rakannya.
“Cuma hari cuti umum kami dapat berseronok dan bersiar-siar dengan kawan begini. Sangat seronok,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan