HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Februari 2016

Memilih kerja, bukan salah kerajaan

Mohd Johari Abu Bakar
Johari


KUALA TERENGGANU – Kemasukan kira-kira 1.5 juta warga Bangladesh ke negara ini tidak seharusnya dipersalahkan kepada kerajaan semata-mata, berikutan pihak terlibat mengalami kekangan dari sudut keperluan tenaga buruh binaan di negara ini.

Ketua Pemuda Umno Terengganu, Mohd Johari Abu Bakar berkata, perkembangan pesat negara dalam usaha menuju negara maju menyebabkan kerajaan tidak mampu menyekat permintaan tinggi terhadap tenaga buruh.

Dalam hal ini menurutnya, masih ramai golongan muda yang memilih pekerjaan sehinggakan kebanyakannya terlepas pandang terhadap pekerjaan buruh binaan yang ‘tidak popular’ berbanding yang lain.

“Kerajaan tiada pilihan sehingga terpaksa mengambil tenaga luar untuk memenuhi permintaan itu. Peluang diberi kerajaan sebelum ini tidak diambil rakyat tempatan. Apabila rakyat sendiri tidak berminat, sudah tentu orang luar yang memenuhi ruang itu.

“Tetapi apabila ruang diberi kepada orang luar, kita marah dan segelintir mengaitkannya dengan isu politik, pengundi hantu dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam laporan Sinar Harian Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar golongan belia hari ini agar menyertai sektor diceburi pekerja asing.

Dalam penjelasan berhubung kemasukan 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh itu, Ahmad Zahid berkata, realitinya ekonomi negara perlu dibangunkan dan bagi tujuan itu, negara memerlukan tenaga kerja berkemahiran separa mahir serta tidak mahir.

Mohd Johari yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu memberitahu bahawa apa yang dilakukan kerajaan seharusnya menjadi pengajaran kepada golongan muda supaya tidak terlalu memilih pekerjaan.

Beliau menjelaskan, keadaan sama mungkin berlaku dalam sektor-sektor lain jika ia tidak dipenuhi oleh rakyat tempatan, ekoran keperluan yang mendesak dalam memastikan Malaysia bersaing di peringkat global.

“Pemuda dan belia kena ambil peluang kerana kita perlu ingat Malaysia ini adalah lubuk emas. Semua negara hendak datang ambil peluang yang ada dalam negara. Sampai bila kerajaan mampu bertahan sekiranya rakyat sendiri tidak menunjukkan minat.

“Dalam apa-apa bidang sekalipun, kita yang perlu ke depan sama ada bidang kemahiran, profesional dan akademik untuk memastikan ia tidak diambil orang luar,” katanya.


Tiada ulasan: