HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Februari 2016

Muhyiddin: Saya bukan rekrut Kit Siang

MALAYSIAKINI




Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau antara rekrut terbaru DAP dalam perjuangan parti itu untuk “menyelamatkan Malaysia”.

Muhyiddin berkata, kenyataan berkaitan perkara itu oleh ketua anggota parlimen DAP Lim Kit Siang (gambar) adalah pandangan peribadi beliau.

“Saya tidak pernah direkrut oleh sesiapapun untuk menegakkan kebenaran.

“Apa yang saya suarakan selama ini adalah lahir daripada kesedaran saya sendiri mengenai nasib yang menimpa rakyat dan negara,” katanya.

Sabtu lalu, Lim berkata Muhyiddin adakan rekrut terakhir untuk agenda “Selamatkan Malaysia” selepas beliau menggesa rakyat bersatu bagi mengelakkan menjadi negara gagal.

Susulan itu, beberapa blog yang menyokong kepimpinan Najib menyerangnya dengan berkata Muhyiddin sebagai orang dua dalam Umno cuba menumbangkan parti sendiri.

Dalam kenyataannya hari ini, Muhyiddin berkata beliau amat memahami perasaan rakyat yang bimbang terhadap nasib Malaysia jika pelbagai krisis ekoran masalah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berterusan.

“Kerana itulah saya mengambil pendirian untuk bersuara,” kata timbalan presiden Umno itu yang digugurkan daripada kabinet oleh Najib selepas lantang mengkritiknya, terutama dalam isu 1MDB.



Sementara itu, Muhyiddin juga berkata beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk menumbangkan Umno seperti dakwaan beberapa portal atas talian susulan kenyataan Lim.

Beliau sekali lagi menegaskan, yang menjadi isu ialah kepimpinan perdana menteri, bukan Umno.

“Saya percaya masalah kepimpinan perdana menteri yang dikaitkan dengan dakwaan penglibatan beliau dalam beberapa skandal kewangan negara dikongsi oleh sebahagian besar rakyat di negara ini melampaui batas politik, ideologi atau kaum,” katanya.


Tiada ulasan: