SHAH ALAM: Jika Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak mengkritik Perdana
Menteri sekalipun, semua 14 Ketua Umno Bahagian di Kedah tetap akan
menyatakan hilang keyakinan pada bekas menteri besar negeri itu, kata
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Menteri Besar Kedah yang baru itu berkata, sikap Mukhriz yang 'tidak
mesra' dan 'tidak menunjukkan keakraban' dengan semua ketua bahagian
menjadi barah dalam kepimpinannya.
"Bukan itu sebabnya. punca sebenar adalah Mukhriz tidak menunjukkan
keakraban dengan ketua-ketua bahagian dan pemimpin politik. Beliau tidak
menunjukkan mesra dengan mereka.
"Mulanya semua hanya simpan dalam hati. Bila ada mesyuarat, kami perlu
juga untuk beri peluang beliau berubah tetapi malangnya beliau seperti
itu juga.
"Tentang beliau atau Tun Dr. Mahathir mengkritik Perdana Menteri, itu
hal mereka sesama sendiri. Saya yakin, jika kedua-duanya tidak
mengkritik Perdana Menteri sekalipun, perkara ini (ambil alih kuasa)
akan terjadi juga," ujar Ahmad Bashah dipetik temubual eksklusifnya
bersama akhbar Utusan, hari ini.
Ahmad Bashah yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah
secara rasminya memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar hari ini,
selepas mengangkat sumpah pelantikan jawatan tersebut, pada Sabtu.
Beliau yang melepaskan jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ditanya sama ada bimbang atau tidak
dengan ancaman politik daripada penyokong Mukhriz.
Ujarnya, jika penyokong Mukhriz itu ahli Umno sejati, mereka akan kembali kepada segala ketetapan parti.
"Saya percaya kalau orang parti, mereka akan balik kepada parti. Tapi
kalau dia orang Mukhriz, dai tak balik dah. Pemimpin akan datang dan
pergi. Tapi kalau di orang Mukhriz, habislah.
"Saya akan berjumpa dengan mereka untuk beri penerangan dan penjelasan.
Mungkin mereka mendapat maklumat yang tidak betul sehingga menimbulkan
kemarahan," jelasnya lagi.
Kemelut politik Kedah berakhir selepas Jemaah Pemangku Sultan Kedah
memutuskan untuk memilih Ahmad Bashah sebagai pengganti Mukhriz.
Keputusan itu dibuat selepas jemaah pemangku itu 'menemuramah' kesemua
ADUN Umno Barisan Nasional (BN) dan ADUN pembangkang, selama dua hari
berturut-turut.
Bagaimanapun Ahmad Bashah optimis Umno Kedah akan 'tenteram' selepas
peralihan ini dan yakin penyokong Mukhriz akan memberikan sokongan serta
kerjasama kepada pentadbiran yang baru di bawah beliau, demi parti dan
rakyat Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan