HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Februari 2016

PAS dinasihatkan hati-hati tangani isu Husam - penganalisis

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS dinasihatkan agar berhati-hati dalam menangani kes Husam Musa agar tidak mendatangkan kecurigaan kepada pucuk pimpinan parti itu, kata Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
 
Malah ujarnya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga perlu dilihat bebas dan tidak cuba untuk menentukan rentak siasatan Jawatankuasa Disiplin PAS terhadap bekas naib presidennya itu.
 
Husam berdepan dengan siasatan jawatankuasa berkenaan selepas beberapa kali dilaporkan bersikap lantang mengkritik PAS secara terbuka termasuk isu pelaksanaan hudud di Kelantan, walaupun selepas ditegur pimpinan parti itu.  
 
"Dia (Hadi) tidak boleh mempengaruhi (keputusan jawatankuasa disiplin) sebab jawatankuasa itu ada orang tertentu yang dilantik. Jadi apa yang terbaik, ialah dia perlu respon kepada kritikan yang terus ada pada dia atau kepimpinan dia, jadi dia perlu respon atas pelantikan itu.
 
"Jadi dia kena ada kes la, kalau kes itu melanggar perlembagaan parti, baru boleh dibawa ke jawatankuasa disiplin tetapi kalau kritik sahaja ianya tidak cukup untuk disabitkan kesalahan apa-apa. Jadi itu kena jelaskan yang itu lah dahulu," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi tadi.
 
Hadi sebelum ini tidak menolak Husam boleh dipecat selepas diberi amaran dan digantung keahliannya atas perbuatannya itu.
 
Bagaimanapun Hadi berkata terserah kepada jawatankuasa disiplin untuk memanggil dan memutuskan apa-apa keputusan ke atas ADUN Salor itu.
 
Husam sebelum ini mengkritik Hadi dan mendedahkan kononnya Ahli Parlimen Marang itu mahu membawa PAS mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Umno Barisan Nasional (BN).
 
Husam juga mendesak Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan meletakkan jawatannya apabila usul untuk meminda Akta 355 belum berjaya dibahaskan di Parlimen.
 
Mengulas lanjut perihal tindak tanduk Husam, Azizuddin berkata ia tidaklah keterlaluan.
 
"Kalau Husam melakukan atau melanggar peraturan dan perlembagaan parti, memang ada hak untuk dibawa ke jawatankuasa disiplin dan dipecatlah tetapi setakat ini saya rasa Husam hanya bersuara sahaja mengkritik.
 
"Jadi saya rasa sekadar mengkritik sahaja tidak cukup untuk dibawa ke lembaga disiplin dan untuk dipecat, selalunya pecat mesti ada isu yang agak konkritlah," katanya.
 
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu Husam akan dirujuk ke jawatankuasa disiplin parti selepas jawatankuasa kerja PAS Pusat mengkaji beberapa aduan yang dibuat terhadapnya.
 
 

Tiada ulasan: